Belanjawan 2027: Kos operasi meningkat, peruncit semakin tertekan – MRCA

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 4:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Kos operasi meningkat, peruncit semakin tertekan – MRCA Image from: Belanjawan 2027: Kos operasi meningkat, peruncit semakin tertekan – MRCA sarah15/10/2026 - 16:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Peningkatan kos gaji, sewa, utiliti dan logistik terus menekan sektor peruncitan Malaysia, sekali gus menjejaskan aliran tunai serta rancangan pengembangan perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Liew Bin berkata, tekanan kos yang berterusan menjadi cabaran utama kepada pengusaha runcit meskipun Belanjawan 2027 memperkenalkan pelbagai langkah bagi merangsang perbelanjaan pengguna dan menyokong pertumbuhan perniagaan.

 

"Sektor peruncitan sangat bergantung kepada tenaga kerja, justeru kenaikan mendadak kos gaji akan menambah tekanan kepada pengusaha yang turut berdepan peningkatan kos sewa, utiliti, logistik dan inventori.

 

"Keadaan ini boleh menjejaskan aliran tunai, pengambilan pekerja dan rancangan pengembangan perniagaan, khususnya dalam kalangan PKS yang berdepan margin keuntungan semakin mengecil," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 sebulan bagi PKS yang layak memberi ruang kepada pengusaha menyesuaikan struktur kos masing-masing, namun kerajaan perlu memperjelas kriteria pengecualian dan garis panduan pelaksanaannya.

 

Liew Bin berkata, peningkatan pendapatan pekerja perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan produktiviti, justeru sokongan kerajaan dalam pendigitalan, automasi dan peningkatan kemahiran pekerja penting bagi membantu perniagaan mengawal kos serta meningkatkan kecekapan operasi.

 

Dalam pada itu, tambah beliau, persaingan daripada platform e-dagang turut menambah tekanan kepada peruncit fizikal, khususnya apabila peniaga tempatan perlu mematuhi pelbagai keperluan percukaian, keselamatan produk dan perlindungan pengguna.

 

Menurutnya, cadangan Rang Undang-Undang E-Dagang perlu memastikan semua peniaga, termasuk penjual asing yang beroperasi di Malaysia, tertakluk kepada peraturan dan tanggungjawab yang setara bagi mewujudkan persaingan lebih adil.

 

"Kami tidak menentang pelaburan asing atau pertumbuhan e-dagang. Peruncitan dalam talian dan kedai fizikal boleh saling melengkapi untuk mengembangkan pasaran, tetapi persaingan mestilah adil," katanya.

 

Mengenai prospek jualan, Liew Bin berkata, kesinambungan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berpotensi meningkatkan kuasa beli isi rumah dan merancakkan perbelanjaan barangan keperluan harian, namun kesannya mungkin tidak dirasai secara menyeluruh oleh semua segmen peruncitan.

 

Beliau turut menggesa kerajaan memperluas rangkaian peniaga SARA dengan memasukkan lebih banyak kedai serbaneka, farmasi, pasar mini, pasar basah dan pasar raya supaya manfaat bantuan itu dapat dinikmati pengguna dengan lebih mudah, selain menyokong jualan peniaga tempatan.

 

Liew Bin berkata, pertumbuhan sektor peruncitan yang mampan memerlukan usaha berterusan untuk mengurangkan tekanan kos perniagaan, memperluas akses pembiayaan PKS, menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan membangunkan jenama tempatan, sekali gus memastikan langkah Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan kepada peningkatan jualan, pelaburan dan peluang pekerjaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved