Belanjawan 2027: Solarvest gesa kerajaan kecualikan SST ke atas sistem bateri dan tenaga hijau

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Solarvest gesa kerajaan kecualikan SST ke atas sistem bateri dan tenaga hijau Image from: Belanjawan 2027: Solarvest gesa kerajaan kecualikan SST ke atas sistem bateri dan tenaga hijau amree17/09/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 SeptSolarvest Holdings Berhad menggesa kerajaan menyediakan insentif khusus bagi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk menyokong lonjakan permintaan elektrik daripada pusat data (DC) kecerdasan buatan (AI) menerusi Belanjawan 2027.

 

Dalam cadangan tersebut, kumpulan berkata keperluan itu semakin penting ketika Malaysia berdepan ketidakstabilan geopolitik dan turun naik harga bahan api fosil global, yang menguatkan keperluan terhadap kedaulatan tenaga serta infrastruktur tenaga bersih untuk lebih berdaya tahan.

 

Sehubungan itu, syarikat tersebut mencadangkan pengecualian penuh cukai jualan dan perkhidmatan (SST), duti import serta duti eksais bagi perkakasan BESS berskala utiliti, penyongsang pintar dan komponen pengurusan bateri yang digabungkan dengan projek solar.

 

"Solarvest turut mencadangkan perluasan Elaun Modal Dipercepatkan (ACA) dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) kepada aset BESS yang dipadankan dengan sistem solar fotovolta (PV) dalam projek berskala utiliti termasuk LSS6, CGPP dan CRESS," katanya dalam kenyataan.

 

Menurutnya, langkah itu dapat mengurangkan kos tenaga bersih yang boleh dibekalkan secara berterusan, sekali gus menggalakkan pelaburan infrastruktur swasta dan mengurangkan kebergantungan kepada loji bahan api fosil ketika permintaan memuncak.

 

Bagi menyokong pertumbuhan DC AI, ia mencadangkan penambahbaikan rangka kerja Skim Bekalan RE Korporat (CRESS), khususnya caj akses grid, supaya pembelian tenaga hijau secara terus melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA) lebih berdaya maju kepada pengendali pusat data.

 

solar_DagangNews

 

Selain itu, Solarvest juga mencadangkan geran padanan cukai 1:1 bagi pengendali DC yang mendapatkan minimum 30% keperluan beban asas mereka daripada kemudahan solar dan BESS, dengan Malaysia dianggarkan memerlukan lebih 11 gigawatt (GW) kapasiti tenaga untuk DC menjelang 2035.

 

"Kami turut mencadangkan Dana Inovasi Kepintaran Tenaga bernilai RM200 juta di bawah National Energy Transition Fund (NETF) bagi membiayai platform pengurusan tenaga berasaskan AI, pengagregatan loji kuasa maya (VPP) serta perisian tindak balas permintaan automatik," katanya.

 

Ia turut menggesa Suruhanjaya Tenaga (ST) mewujudkan rangka kerja VPP nasional melalui 'regulatory sandbox', bagi membolehkan aset tenaga teragih seperti solar dan penyimpanan tenaga mengambil bahagian secara langsung dalam pasaran borong serta kawal selia frekuensi.

 

Sebagai usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Grid Tenaga ASEAN, Solarvest mencadangkan perluasan Green Technology Financing Scheme (GTFS 4.0) dan BPMB Green Investment Fund bagi projek RE rentas sempadan, selain insentif cukai terhadap dividen luar negara yang dibawa pulang.

 

Pada masa sama, Solarvest turut mencadangkan potongan cukai berganda bagi latihan RE dan AI yang diterajui industri, termasuk makmal penyelidikan universiti-industri, akademi khusus serta program pensijilan dan pengurusan, bagi membangunkan pekerja berkemahiran tinggi untuk menyokong peralihan kepada ekonomi tenaga bersih. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved