liza14/09/2026 - 14:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menggesa kerajaan menggunakan Bajet 2027 untuk mengurangkan kos dan ketidakpastian menjalankan perniagaan, susulan peningkatan kos pematuhan serta kerumitan yang timbul akibat peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Presiden MICCI, Christina Tee berkata, syarikat kini berdepan peningkatan kos pematuhan, utiliti dan operasi, selain tekanan terhadap aliran tunai serta kerumitan yang semakin meningkat dalam menjalankan perniagaan.
Menurut beliau, ketidakpastian dalam kos dan urusan perniagaan lebih sukar diurus berbanding kos yang sudah diketahui kerana syarikat boleh membuat perancangan apabila jumlah yang perlu ditanggung jelas.
“Perniagaan masih boleh merancang apabila kos yang perlu ditanggung diketahui, tetapi ketidakpastian menyukarkan mereka membuat perancangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, MICCI berpandangan peluasan SST perlu diberi perhatian kerana sistem berkenaan boleh meningkatkan kerumitan pematuhan dan mewujudkan kesan cukai berlapis sepanjang rantaian bekalan.
GST Dilihat Kurangkan Kesan Cukai Berlapis
MICCI berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada masa yang sesuai dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan perniagaan semasa.
Menurut MICCI, GST merupakan sistem cukai penggunaan yang lebih menyeluruh dan cekap kerana membolehkan perniagaan menuntut kredit cukai input.
“Mekanisme itu membantu mengurangkan kesan cukai berlapis sepanjang rantaian bekalan, selain meningkatkan ketelusan dan pematuhan cukai.
“GST juga menyediakan asas hasil kerajaan yang lebih mampan berbanding SST, sekali gus menjadikannya antara perkara yang wajar dipertimbangkan dalam menentukan hala tuju sistem percukaian negara,” katanya.
Bagaimanapun, MICCI tidak menetapkan bila GST perlu diperkenalkan semula, sebaliknya menegaskan perkara itu perlu dinilai berdasarkan keadaan ekonomi dan perniagaan semasa.
MICCI Mahu Perdagangan Haram Ditangani
Selain isu percukaian, MICCI turut menggesa kerajaan mengambil langkah pragmatik bagi menangani perdagangan haram alkohol dan tembakau yang menyebabkan kerajaan dianggarkan kehilangan kira-kira RM5.6 bilion hasil setiap tahun.
MICCI mengakui kerajaan telah meningkatkan penguatkuasaan terhadap perdagangan haram, namun mahu langkah yang diperkenalkan berkesan mengurangkan kehilangan hasil tanpa menambah beban kepada industri yang sah.

Menurut MICCI, sebarang langkah baharu perlu disokong rekod keberkesanan atau statistik yang terbukti serta dinilai dengan teliti bagi mengelakkan kesan tidak diingini.
Antara perkara yang perlu dielakkan ialah peningkatan jurang harga antara produk sah dan produk haram, yang boleh mendorong pengguna memilih produk tidak sah.
MICCI berkata, sentimen pengguna telah melemah khususnya selepas kenaikan duti eksais tahun lalu dan sebarang peningkatan kos atau duti eksais seterusnya boleh meningkatkan permintaan terhadap produk haram.
Proses Kerajaan Perlu Lebih Jelas
MICCI turut mencadangkan agensi kerajaan menetapkan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (Service Level Agreement) dengan tempoh pemprosesan yang jelas bagi permohonan, kelulusan dan penyerahan dokumen.
Sekiranya permohonan ditolak, MICCI mahu alasan atau justifikasi diberikan supaya syarikat dapat memahami isu berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Bagi mengurangkan tekanan terhadap aliran tunai, MICCI mencadangkan bayaran balik cukai ditolak secara automatik daripada ansuran cukai semasa, selain mempercepatkan kitaran pembayaran kerajaan.
MICCI turut menggalakkan amalan pembayaran tepat pada masanya dalam sektor awam dan swasta supaya syarikat tidak perlu menanggung kewajipan semasa ketika bayaran atau bayaran balik yang sudah sepatutnya diterima masih tertunggak.
Kuota Diesel Perlu Ikut Keperluan Operasi
Bagi syarikat yang bergantung kepada diesel, MICCI menggesa kerajaan meneruskan kajian dan penambahbaikan terhadap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), khususnya pengurusan kuota mengikut kenderaan.
Menurutnya, kejelasan dan fleksibiliti dalam pengagihan kuota dapat memastikan peruntukan lebih mencerminkan keperluan operasi sebenar serta mengelakkan tekanan tidak perlu terhadap kos dan kesinambungan perniagaan.
Christina berkata, peraturan yang jelas hanya memberi manfaat sekiranya sistem yang menyokongnya dapat berfungsi dengan baik dalam amalan.
“Apa yang penting ialah dasar yang diumumkan dalam Bajet 2027 dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi kelegaan sebenar kepada perniagaan,” katanya. - DagangNews.com





