
SHAH ALAM, 1 OKT: Belanjawan Selangor 2027 diharap memberi tumpuan kepada kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan keperluan harian rakyat.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata beliau yakin Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari akan membentangkan belanjawan yang mengambil kira keperluan rakyat dan pembangunan negeri.
“Harapan setiap tahun, saya yakin Dato’ Menteri Besar akan merangka satu bajet yang merangkumi semua aspek, meliputi keperluan, kehendak dan pembangunan Selangor.
“Kita sudah melalui beberapa sesi libat urus dan kita juga akan memberi input. Apa pun kita berharap belanjawan lebih baik daripada tahun sebelumnya termasuk menumpukan isu kenaikan harga, diesel, barangan dan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik KDEB Waste Management dan Caltex Malaysia di Selangor International Trade Centre di sini semalam.
Ramli berkata KDEBWM akan terus menyokong Kerajaan Negeri dalam melaksanakan perancangan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini negeri kita, kita perlu beri sokongan yang kuat kepada Kerajaan Negeri dan kepimpinan Dato’ Menteri Besar,” katanya.
Beliau turut berharap Belanjawan 2027 di peringkat Persekutuan mengambil kira keperluan rakyat bagi memastikan kebajikan dan kehidupan mereka terjamin.





