17 premis vape digempur, rampas barangan bernilai RM38,000

1 Oct 2026 • 5:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 17 premis vape digempur, rampas barangan bernilai RM38,000

SUBANG JAYA – Sebanyak 17 premis menjual rokok elektronik di sekitar daerah ini digempur pihak berkuasa melibatkan kompaun berjumlah RM35,000 dan rampasan barangan bernilai RM38,000.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, seramai 68 pegawai terlibat dalam operasi terdiri daripada 17 pegawai dan anggota KPDN Selangor, 40 anggota MBSJ, lima pegawai KKM serta enam pegawai SSM.

Operasi itu dilakukan bagi memastikan premis yang menjual rokok elektronik mematuhi peraturan berkaitan termasuk aspek perdagangan, kesihatan, pendaftaran perniagaan dan pelesenan premis.

“KPDN Selangor membuka tiga kes di bawah Perenggan 6, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022.

“Ia membabitkan kegagalan mematuhi ketetapan berhubung peranti rokok elektronik atau alat ganti yang tidak mempunyai tanda seperti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam operasi sama, KPDN turut mengeluarkan lima kompaun di bawah Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

MBSJ pula mengeluarkan sebanyak 14 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSJ serta Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ.

SSM mengeluarkan lima kompaun, manakala KKM mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 18(1)(a) kerana gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok.

“KPDN ingin mengingatkan semua peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik agar sentiasa mematuhi keperluan perakuan dan penandaan peranti rokok elektronik yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan,” katanya.

Tambahnya, setiap peranti rokok elektronik atau alat ganti yang dijual perlu mempunyai perakuan pihak berkuasa yang berwibawa serta ditandakan dengan tanda yang ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam jadual.

Tegasnya, KPDN akan terus mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perniagaan disyaki melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN turut diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi kementerian.- KOSMO! ONLINE

The post 17 premis vape digempur, rampas barangan bernilai RM38,000 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved