
Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM36.45 juta bagi portfolio 47 projek tebatan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran pada 2027.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, portfolio tersebut merangkumi 30 projek sambungan dan 17 projek baharu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Daripada 30 projek sambungan, 13 projek sudah siap dan sedang melalui penyediaan akaun muktamad.
Manakala, sembilan projek sedang dilaksanakan, dua projek di peringkat pra tender dan enam projek di peringkat reka bentuk.
"Projek tebatan banjir di Anak Sungai Damansara Petaling telah berjaya disiapkan pada tahun 2026, sementara satu lagi projek di peringkat reka bentuk, 11 projek dalam proses pelantikan perunding dan lima projek masih di peringkat perancangan daripada seluruh peruntukan tersebut sebanyak RM9.15 juta melibatkan Lembangan Sungai Klang dan RM7.35 juta melibatkan Lembangan Sungai Langat.
"Peruntukan turut meliputi Lembangan Sungai Buloh, Sungai Selangor, Sungai Bernam dan Kapar Besar serta kerja persediaan seperti reka bentuk ukur dan urusan tanah," katanya.
Amirudin berkata keutamaan kerajaan negeri adalah mempercepat kerja yang sudah sedia dilaksana dan menyelesaikan urusan tanah serta menyelaraskan lebih awal bagi projek-projek yang bakal menyusul.
Menurutnya, sistem tebatan hanya dapat berfungsi dengan baik jika saliran setempat mampu membawa aliran air ke sungai yang mempunyai kapasiti untuk menerimanya.
"Sebab itu kerajaan negeri turut memperuntukkan RM19.38 juta bagi 25 projek sistem saliran, RM17.90 juta bagi 16 projek pembangunan dan pengurusan Lembangan Sungai serta RM6.63 juta bagi sembilan projek saliran mesra alam," ujarnya ketika membentangkan Belanjawan Kita Selangor 2027 pada Jumaat.
Baca juga:
Penjawat Awam Selangor Terima Bantuan Khas Dua Bulan Gaji
Selangor Naikkan Elaun Guru KAFA RM200 Mulai Januari 2027
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti 56 projek yang dirancang untuk tahun hadapan demi mempercepat pelaksanaan projek mitigasi dan tebatan banjir.
Beliau berpendapat bahawa keperluan tanah, utiliti dan kelulusan teknikal dapat dikenal pasti jika reka bentuk dimulakan lebih awal sebelum kontrak pembinaan ditawarkan.
"Apabila tiba masa untuk melantik kontraktor, skop kerja dan keperluan tapak sudah lebih jelas.
"Dengan cara itu, tempoh selepas kontrak dianugerahkan dapat digunakan untuk menggerakkan kerja di tapak," tambahnya.






