
SHAH ALAM, 13 NOV: Belanjawan Selangor 2027 berjumlah RM3.3 bilion merupakan antara peruntukan tertinggi dalam tempoh hampir 20 tahun pentadbiran Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buat pertama kali, Belanjawan Selangor 2027 turut memberi penekanan khusus terhadap perubahan iklim sebagai strategi memperkukuh daya saing negeri dalam menghadapi cabaran masa depan.
"Alhamdulillah, saya baharu membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertemakan Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni dengan peruntukan RM3.3 billion.
"Ini antara perbelanjaan yang tertinggi pernah dibelanjakan sepanjang hampir 20 tahun pentadbiran...ini antara tertinggi kedua atau ketiga. Dalam belanjawan ini, antara penekanan besar diberikan bagaimana adaptasi negeri dengan perubahan iklim.
"Terutamanya menyesuaikan dengan projek prasarana dan menitikberatkan tentang pelaksanaan projek-projek pembangunan atau tebatan banjir. Malah, ia turut meliputi usaha-usaha untuk memastikan bekalan air berterusan dengan pembinaan loji-loji rawatan, loji jana kuasa tenaga daripada sisa (WTE), solar dan pelbagai inisiatif lain," katanya di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor, hari ini.
Ditemui pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2027, Amirudin memaklumkan, perbelanjaan tinggi bagi infrastruktur awam merupakan inisiatif pembangunan negeri diterjemah kepada kualiti kehidupan lebih baik.
"Pecahan paling besar iaitu 35.9 peratus disalurkan kepada infrastruktur awam yang bernilai RM503.1 juta. Kita juga tidak melupakan sektor pendidikan ...tahun lepas RM136 juta mungkin tahun ini ada sedikit pengurangan tetapi apabila dicampur dengan NutriSel nilainya hampir sama atau lebih.
"Tahun ini, kita juga ada inisiatif baharu seperti laptop untuk mahasiswa anak muda di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana kita letakkan taraf harga RM2,000 untuk setiap komputer riba yang memanfaatkan 8,400 orang," ujarnya.
Ketika membentang belanjawan 2027, Amirudin mengumumkan Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM3.3 bilion bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.
Sejumlah RM1.9 bilion bersamaan 57.6 peratus untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.4 bilion atau 42.4 peratus bagi pembangunan.
Jelas beliau, negeri turut menganggarkan hasil yang mampu dikutip sebanyak RM2.85 bilion tahun depan meliputi premium tanah berjumlah RM1.112 bilion bersamaan 39 peratus daripada anggaran hasil.
Malah, cukai tanah diunjurkan menyumbang RM653.82 juta bersamaan 23 peratus daripada hasil keseluruhan, manakala pemberian Persekutuan sebanyak RM292.70 juta bersamaan 10 peratus.





