SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memainkan peranan aktif dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu menjelang 2050.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shamsul Ahmad berkata, TNB akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi mempercepat agenda peralihan tenaga negara ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tempoh berkenaan.
Menurutnya, keutamaan syarikat utiliti itu adalah untuk memastikan setiap rumah kekal menikmati bekalan elektrik selamat dan berdaya harap, perniagaan mempunyai akses kepada tenaga yang diperlukan untuk berkembang serta Malaysia terus melangkah ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan.
“Sebagai penyedia utiliti elektrik negara, TNB menerima tanggungjawab ini dengan penuh amanah.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan dan pihak berkepentingan untuk memastikan pembangunan sistem tenaga negara memberi manfaat kepada rakyat, menyokong pertumbuhan ekonomi dan mewariskan masa depan yang lebih mampan kepada generasi akan datang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion.
Beliau berkata, belanjawan Madani kelima meneruskan dasar fiskal mengembang dengan mendaya guna seluruh kekuatan negara keseluruhannya berjumlah RM510 bilion berbanding RM470 bilion pada 2026.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata, TNB akan terus memperkayakan kapasiti tenaga boleh baharu menerusi pelbagai inisiatif termasuk Large Scale Solar (LSS), Battery Energy Storage System (BESS) dan Hydro Life Extension Programme (HLEP).
Usaha itu katanya, turut diselaraskan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menjadi antara landasan utama Malaysia dalam mempercepat peralihan kepada sistem tenaga lebih bersih dan mampan.
"TNB menyambut baik penekanan kerajaan terhadap pengukuhan Grid Nasional menerusi pelaburan RM15 bilion bagi memastikan sistem bekalan elektrik negara mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
"Pelaburan berkenaan merupakan sebahagian daripada RM43 bilion yang diperuntukkan TNB bagi tempoh 2025 hingga 2027 untuk memperkukuh dan memodenkan keupayaan Grid Nasional," katanya.
Selain itu, TNB turut menyahut seruan kerajaan untuk berganding bahu dalam memastikan projek pelaksanaan bekalan elektrik desa dipercepat demi kepentingan rakyat dan pemerkasaan ekonomi Bumiputera akan terus dipergiat selaras dengan pendekatan kerajaan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Tambahnya, TNB terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan vendor Bumiputera sejak 1994 menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk Program Pembangunan Vendor Bumiputera 3.0 (PV 3.0).
"Sehingga Jun 2026, syarikat utiliti itu telah menyalurkan lebih RM11 bilion menerusi program berkenaan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 1,200 vendor Bumiputera
"Seiring dengan aspirasi peralihan tenaga negara, TNB akan terus menyokong pembangunan syarikat Bumiputera dengan penglibatan dalam projek berkaitan tenaga boleh baharu, pengukuhan grid dan teknologi hijau," katanya.






