Beli Belah Guna SARA RM100? Elak Sesak Dengan 5 Tip Ini

3 Sep 2025 • 5:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Beli Belah Guna SARA RM100? Elak Sesak Dengan 5 Tip Ini

Kerajaan telah mengumumkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos 2025.

Inisiatif ini menjadi tanda keprihatinan kerajaan dalam meringankan kos sara hidup rakyat khususnya untuk membantu mendapatkan barangan asas di pasar raya atau kedai runcit terpilih.

Walaupun jumlahnya mungkin tidak besar namun ia tetap membantu meringankan beban ramai keluarga dalam menyediakan barang dapur.

Walaubagainamapun, seperti yang kita maklum apabila sesuatu bantuan dikreditkan secara serentak kepada jutaan rakyat, suasana di pasar raya pasti lebih sibuk daripada biasa.

Rak barangan asas akan cepat kosong, kaunter pembayaran menjadi panjang, sistem pembayaran yang bermasalah malah ada yang terpaksa menunggu lama hanya untuk membeli segenggam barang.

Oleh itu, sedikit strategi dan perancangan boleh menjadikan pengalaman membeli-belah lebih tenang dan terkawal.

image is not available
Kredit : FB Kementerian Kewangan

Mengikut perkongsian di laman rasmi Facebook Kementerian Kewangan, berikut merupakan 5 cara bijak untuk elak kesesakan ketika membeli-belah menggunakan SARA RM100:

1. Pilih masa yang sesuai

Memilih masa yang tepat adalah kunci utama untuk mengelakkan diri daripada bersesak-sesak dengan orang ramai.

Ramai orang biasanya akan keluar pada hari pertama bantuan dikreditkan kerana tidak mahu menunggu lama untuk menggunakan SARA RM100 mereka. Jika anda ingin berbelanja dengan lebih selesa, cuba elakkan tempoh tersebut.

Rancang masa membeli-belah pada awal pagi sejurus pasar raya dibuka iaitu ketika suasana masih segar, pekerja baru sahaja menyiapkan stok di rak dan orang ramai belum lagi berpusu-pusu.

Alternatif lain, pilih waktu malam selepas waktu makan malam kerana kebanyakan orang sudah pulang dan suasana pasar raya lebih lengang.

Dengan memilih masa yang bijak, anda bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan malah lebih tenang membuat pilihan barangan tanpa tekanan.

2. Elak waktu puncak

Selain hari pertama pengkreditan, terdapat juga waktu-waktu tertentu yang sering menjadi punca kesesakan. Antara yang paling ketara ialah hujung minggu, cuti umum dan tempoh awal atau hujung bulan ketika gaji masuk.

Pada waktu inilah pasar raya menjadi tumpuan keluarga yang membeli dalam kuantiti besar. Jika anda ingin menggunakan SARA RM100 dengan lebih selesa, elakkan waktu sebegini.

Sebaliknya, pilih hari bekerja di pertengahan minggu atau pertengahan bulan. Ketika itu, orang ramai biasanya sibuk dengan rutin harian dan pasar raya kurang sesak.

Suasana yang lebih tenang akan membolehkan anda membeli barang dengan lebih cepat serta tidak perlu berebut di rak yang sibuk. Anda juga akan lebih mudah untuk mendapatkan tempat letak kereta.

3. Elakkan musim cuti

Musim cuti sekolah dan cuti perayaan sering kali menjadi tempoh paling sibuk di pusat membeli-belah.

Ramai keluarga mengambil kesempatan ini untuk keluar beramai-ramai membeli barangan dapur atau persiapan rumah dan menyebabkan pasar raya penuh sesak.

Stok barangan asas juga cepat habis kerana pembelian biasanya dalam jumlah yang lebih banyak daripada biasa.

Jika anda tidak terlalu terdesak untuk membeli, sebaiknya tangguhkan penggunaan SARA RM100 sehingga musim cuti berakhir.

Dengan menunggu beberapa hari, anda dapat berbelanja dalam keadaan yang lebih tenang, barangan lebih mudah dicapai dan proses membeli-belah menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan bukannya meletihkan.

4. Jangan panik atau terburu-buru

Apabila bantuan SARA RM100 dikreditkan, ramai yang berasa terdesak untuk membelanjakannya dengan segera. Keadaan ini sering menimbulkan rasa panik seolah-olah perlu membeli sebanyak mungkin sebelum stok habis.

Akibatnya, ramai yang membeli secara terburu-buru tanpa membuat pertimbangan. Hakikatnya, sikap ini hanya menambahkan kesesakan dan membuatkan anda mudah tersilap membuat pilihan.

Cara terbaik adalah dengan bertenang. Luangkan masa untuk membuat senarai barangan penting sebelum keluar rumah, tetapkan bajet, dan kekal fokus semasa membeli.

Dengan cara ini, anda akan lebih tenang dan tidak perlu membuang masa terlalu lama di pasar raya. Akhirnya anda dapat menggunakan SARA RM100 dengan lebih bijak dan berhemah.

5. Sah digunakan sehingga 31 Disember 2025

Satu perkara penting yang perlu difahami ialah bantuan SARA RM100 ini sah digunakan sehingga 31 Disember 2025. Ini bermakna anda tidak perlu terburu-buru untuk membelanjakannya pada hari ia dikreditkan.

Ramai yang tidak menyedari perkara ini lalu berasak-asak di pasar raya sebaik sahaja bantuan masuk.

Hakikatnya, dengan tempoh sah yang panjang anda mempunyai ruang untuk merancang dengan lebih baik. Gunakan kredit tersebut secara berperingkat mengikut keperluan.

Misalnya membeli beras minggu ini, kemudian membeli minyak masak atau barang basah pada minggu berikutnya.

Dengan cara ini, anda bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan di pasar raya tetapi juga memastikan perbelanjaan lebih terkawal dan setiap sen SARA RM100 benar-benar digunakan untuk barang yang diperlukan.

Secara keseluruhannya, pemberian SARA RM100 one-off ini adalah langkah positif kerajaan untuk membantu rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Namun, bagaimana kita menggunakannya akan menentukan sejauh mana manfaat sebenar yang diperoleh.

Dengan sedikit perancangan masa dan sikap bertenang serta penggunaan yang bijak, anda boleh mengubah pengalaman membeli-belah daripada satu tugasan yang memenatkan kepada satu pengalaman yang lebih selesa, terkawal dan berbaloi.