
SHAH ALAM – Bekas pengurus pemasaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 27 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi pembelian sawit berjumlah keseluruhan RM540,238.38 antara 2020 hingga 2022.
Tertuduh, Amirulnizam Island, 44, membuat pengakuan tersebut selepas Kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Amirulnizam didakwa secara tidak jujur telah menggunakan 27 dokumen palsu iaitu invois pembelian sawit sebuah syarikat kepada PPK Bernam Jaya antara Januari 2020 hingga Julai 2022 di pejabat PPK Itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan keseluruhan RM50,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Hafiz Norkhan dan Datuk Mohd. Imran Tamrin dalam mitigasi memaklumkan tertuduh mempunyai tiga anak berusia antara lapan hingga 16 tahun dan kini bekerja di sebuah agensi pertanian di Pulau Pinang.
“Isterinya juga merupakan penjawat awam dan baru disahkan menghidap cerebral palsy dengan kos rawatan antara RM500 hingga RM1,000. Kami juga terkejut dengan 27 pertuduhan pada hari ini manakala keluarga tertuduh hanya mampu mengumpulkan wang sebanyak RM15,000.
“Ikat jamin yang tinggi ditawarkan seperti menjatuhkan hukum sebelum didapati bersalah,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 November depan. – KOSMO! ONLINE
The post Beli sawit RM540,238 guna dokumen palsu appeared first on Kosmo Online.


