
SHAH ALAM: Bekas pengurus pemasaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Bernam Jaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 27 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi pembelian sawit berjumlah RM0.54 juta antara 2020 hingga 2022.
Bagaimanapun, tertuduh, Airulnizam Island, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Amirulnizam didakwa secara tidak jujur telah menggunakan 27 dokumen palsu iaitu invois pembelian sawit sebuah syarikat kepada PPK Bernam Jaya bernilai RM540,238.38 antara Januari 2020 hingga Julai 2022 di pejabat PPK Itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan supaya jaminan keseluruhan sebanyak RM50,000 berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Hafiz Norkhan dan Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili tertuduh dalam rayuannya berkata, selain menanggung tiga orang anak masih bersekolah, dia juga membiaya rawatan isteri yang menghidap cerebral palsy dengan kos antara RM500 hingga RM1,000.
“Kami juga terkejut dengan 27 pertuduhan pada hari ini manakala keluarga tertuduh hanya mampu mengumpulkan wang sebanyak RM15,000. Ikat jamin yang tinggi ditawarkan seperti
menjatuhkan hukum sebelum didapati bersalah,” katanya.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dinyatakan pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November depan. – UTUSAN
The post Lelaki dituduh guna dokumen palsu beli sawit bernilai RM0.54 juta appeared first on Utusan Malaysia.






