
PETALING JAYA: Pembelian makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein segar merupakan antara cadangan peluasan skop Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang bersetuju agar cadangan itu dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Langkah ini penting supaya bantuan kerajaan bukan sahaja membantu kuasa beli rakyat, tetapi turut mendorong akses kepada pemakanan yang lebih sihat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat NACCOL Ke-18 semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga mengambil serius tekanan kos yang dihadapi sektor perniagaan, logistik dan agromakanan.
Katanya, perkembangan geopolitik termasuk ketidaktentuan di Asia Barat, kos pematuhan import serta kesan penyasaran subsidi terhadap kos pengeluaran makanan perlu terus dipantau supaya ia tidak diterjemahkan kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna.
“Agensi berkaitan telah diminta terus memperhalusi mekanisme sedia ada termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan dan kumpulan yang terkesan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga meneliti secara mendalam hala tuju Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan pengguna dan kelangsungan industri serta beras dapat diseimbangkan.
Beliau berkata, kos sara hidup rakyat tidak boleh dilihat semata-mata daripada harga barang di rak pasar raya sebaliknya ia perlu ditangani secara menyeluruh dalam ekosistem pasaran tempatan.
Jelasnya, ekosistem itu melibatkan pelbagai peringkat termasuklah kos pengeluaran dan rantaian bekalan, kemampuan membeli makanan berkhasiat, kos kesihatan dan pendidikan sehinggalah kepada perlindungan terhadap golongan rentan.
“Setiap dasar mestilah dinilai berdasarkan kesannya kepada kehidupan sebenar rakyat.
“Antara perkara yang diberikan perhatian ialah cadangan mekanisme peralihan atau ‘soft landing’ melalui program beras bersubsidi bagi memastikan kumpulan rentan terus dilindungi sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga kekal komited memastikan kos pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembangunan modal insan.
Katanya, berdasarkan pemetaan 13 program bantuan pendidikan tertiari, seramai 62,937 pelajar Tingkatan Enam dan universiti menerima bantuan pada tahun 2025 dengan nilai
keseluruhan RM589.6 juta.
“Bantuan seperti ini perlu terus diperkukuh supaya anak-anak daripada setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang yang saksama untuk melanjutkan pendidikan,” katanya. – UTUSAN
The post Beli sayur, buah-buahan antara cadangan syor perluasan skop Sara appeared first on Utusan Malaysia.






