
RANTAU PANJANG – Hajat seorang ‘transporter’ untuk mendapat upah sebanyak RM100 hasil membawa 1.35 tan buah-buahan dan sayur seludup termasuk 300 kilogram (kg) durian tidak kesampaian apabila dicekup di pangkalan haram Kak Mah, Kampung Lubok Gong di sini semalam.
Suspek yang berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA pada awalnya melihat sebuah van jenis Mazda berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram tersebut.
Katanya, pemeriksaan terus dijalankan, namun suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan bungkusan buah-buahan yang dibawa di dalam kenderaan tersebut.
“Van itu membawa sebanyak 200 kg manggis, durian (300 kg), pisang (200 kg), limau nipis (300 kg), ubi keledek (150 kg) dan serai (200 kg) dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM18,000. Hasil siasatan awal mendapati, kesemua barangan tersebut diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram Kak Mah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek yang berperanan sebagai ‘transporter’ dipercayai memperoleh upah sebanyak RM100 untuk membawa buah-buahan dan sayur-sayuran itu sebelum dijual di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu.
Menurutnya, suspek dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini manakala kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167). – KOSMO! ONLINE
The post Tak sempat seludup 1.35 tan buah termasuk 300 kg durian appeared first on Kosmo Digital.






