Belia pemandu ekonomi, agen perubahan Sabah

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 5:06 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Belia pemandu ekonomi, agen perubahan Sabah

Tuaran: Golongan belia bukan sekadar pemimpin masa depan, sebaliknya berperanan sebagai pemandu ekonomi dan agen perubahan utama dalam merealisasikan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri komited memperkasa golongan itu menerusi pelbagai bantuan, dana dan latihan kemahiran bagi membolehkan mereka bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Beliau berkata, pembangunan belia terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kerajaan negeri meletakkan agenda pembangunan belia sebagai salah satu keutamaan kerana golongan ini bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi merupakan pemandu ekonomi dan agen perubahan utama yang kita perlukan hari ini untuk menjayakan aspirasi pelan pembangunan SMJ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 di Padang Istiadat Pekan Tuaran, di sini, Khamis.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri memperuntukkan RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) bagi 2026, merangkumi pembangunan modal insan, geran persatuan belia, sektor sukan serta pembangunan usahawan muda menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (Syabas).

Selain itu, katanya, inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) turut disediakan untuk golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga, manakala platform Pemikir Muda Ketua Menteri membolehkan anak muda terbabit secara langsung dalam proses penggubalan dasar dan polisi pembangunan negeri.

Dewan Belia Sabah pula berperanan sebagai platform penyatuan dan perwakilan golongan itu untuk membincangkan isu serta hala tuju anak muda menerusi format pelaksanaan baharu di bawah seliaan kementerian berkaitan.

Mengulas penganjuran Karnival Tamu Belia Tuaran 2026, Hajiji berkata, program itu bukan sekadar menghimpunkan golongan muda, malah menjadi ruang untuk mereka berkongsi idea, mengetengahkan bakat, mengembangkan perniagaan dan membina jaringan kerjasama.

Katanya, tamu yang menjadi sebahagian daripada khazanah kehidupan masyarakat Sabah bukan sekadar tempat jual beli, sebaliknya menghubungkan peniaga, pengusaha kecil, petani, penggiat seni dan komuniti setempat.

“Apabila konsep tamu digabungkan dengan semangat dan kreativiti belia, kita dapat mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk aktiviti keusahawanan, kebudayaan, kesukanan, hiburan yang sihat serta perkongsian ilmu,” katanya.

Beliau berharap karnival berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk memperkenalkan produk tempatan, mengetengahkan bakat seni dan budaya, menyertai pertandingan yang membina keyakinan diri serta mengukuhkan hubungan antara komuniti.

Hajiji berkata, program seumpama itu perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan belia yang berdikari, berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai jati diri kukuh, selain merangsang kemunculan usahawan baharu, kerjasama perniagaan serta peluang pekerjaan.

Beliau turut berharap golongan belia di Tuaran menjadi contoh kepada anak muda di daerah lain dari segi kreativiti, semangat kesukarelawanan, keusahawanan dan perpaduan masyarakat.

Katanya, kejayaan pembangunan belia bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan, tetapi turut memerlukan kesungguhan golongan itu sendiri, sokongan keluarga, komitmen komuniti dan kerjasama semua pihak.

Beliau berharap Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 mencapai matlamatnya serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan belia di Tuaran dan seluruh Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved