Bella Astillah nafi dakwaan bakal berkahwin dalam masa terdekat

EntertainmentPolitics
25 Sep 2025 • 1:20 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah menafikan dakwaan kononnya dia bakal berkahwin tidak lama lagi selepas adiknya, Didi Astillah dikatakan memberi ‘hint’ mengenai perkara tersebut.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, beliau sendiri terkejut dengan isu berkenaan kerana keluarganya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Jelasnya, kenyataan yang tular itu sebenarnya hanyalah gurauan daripada Didi ketika berbalas komen di media sosial.

“Saya pun terkejut, Didi tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan. Dia hanya bergurau ketika berbalas komen, tidak sangka pula gurauannya menjadi tajuk berita.

“Saya minta maaf jika ada pihak yang terasa atau triggered dengan perkara itu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Muzikal Lawak Superstar 5, baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan mengenai harapan peminat agar dirinya dan Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq, berjodoh selepas pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman mendirikan rumah tangga, Bella hanya mengukir senyuman.

“Doakan yang baik-baik,” katanya ringkas.

Sebelum ini, spekulasi mengenai perkahwinan Bella dan Syed Saddiq tercetus selepas Didi secara gurauan membalas komen seorang peminat dengan menulis: “Tak salah pun kalau nak mula berlatih sikit-sikit dulu.”

Sementara itu, Bella yang baru pulang daripada penggambaran bersama sebuah jenama pakaian popular turut menemani Syed Saddiq menyahut cabaran Kejohanan Ironman Dunia 2025 di Nice, Perancis.

Dari sudut karier, selain bertugas sebagai penyampai radio Era FM pada setiap Isnin, Bella kini juga bergelar juri Muzikal Lawak Superstar 5 bersama Datuk Aznil Nawawi dan Zizan Razak yang bakal bersiaran bermula 11 Oktober ini.