‘Belum ada bukti sahih Jho Low di Shanghai’: Saifuddin Nasution

LocalPolitics
24 Jul 2025 • 2:54 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Belum ada bukti sahih mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan
Low Taek Jho atau Jho Low berada dan menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan dua wartawan penyiasatan Bradley Hope dan Tom Wright hanya boleh dianggap sebagai laporan berita mereka sahaja.

“Setakat ini, saya katakan bahawa dakwaan mengenai lokasi dan penggunaan pasport individu yang disebut itu, setakat ini belum ditemui fakta sokongan atau mana-mana bukti yang sah dan sahih.

“Kalau jumpa kita beritahulah, kalau tidak kita kena (beritahu) tidaklah.

“Laporan media itu) kekal hanya sebagai pelaporan oleh wartawan berkenaan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Menteri Dalam Negeri ke Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui polis sentiasa menjalin kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa serta agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa.

“Kerjasama erat kita dengan agensi luar negara sentiasa berjalan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, rakan Wright yang juga wartawan penyiasatan, Bradley Hope mendakwa Jho Low kini menetap di kawasan elit Green Hills, Shanghai, China.

Ahli perniagaan dalam buruan itu juga dikatakan menggunakan pasport palsu Australia atas nama Greek bagi menyembunyikan identiti.

Butiran itu didedahkan satu artikel bertajuk RICH LIST: Playboy Financier Jho Low Turned International Fugitive ditulis oleh Hope yang diterbitkan di laman Whale Hunting, pada 18 Julai lalu.

Dalam artikel itu, Hope turut mendakwa Jho Low berperanan sebagai strategis bayangan kepada kerajaan China, membantu syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa terus beroperasi di peringkat global.

Kelmarin, Tom Wright, menerusi satu perkongsian di platform X, mendakwa Jho Low menggunakan pasport Australia palsu untuk mendaftarkan sebuah syarikat di United Kingdom (UK).

Menerusi hantaran itu, Wright berkongsi dokumen berkaitan syarikat (di UK) terbabit dengan butiran sama seperti nama, bulan dan tahun lahir ahli perniagaan dalam buruan berkenaan.

Wright menjelaskan, maklumat baharu yang diterima juga menunjukkan kemungkinan kaitan Jho Low dengan beberapa entiti korporat di Amerika Syarikat serta hubungan lain di Hong Kong. - 24 Julai, 2025