
PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) — Jabatan Perikanan (DOF) hari ini memaklumkan belum terdapat bukti yang menunjukkan kewujudan populasi ikan pirana telah bertapak dan membiak di Empangan Klau, Raub, Pahang, susulan penangkapan seekor ikan yang disyaki spesies berkenaan pada 26 Ogos.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata setakat ini, hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan tersebut, manakala siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 Sept, tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan.
“Berdasarkan hasil penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan, terhadap gambar dan rakaman video ikan berkenaan, ciri-ciri morfologi yang dapat dilihat konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan pirana.
“Bagaimanapun, pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies tidak dapat dibuat, kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut. Ikan tersebut dilaporkan telah mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media sosial tular dengan dakwaan kewujudan pirana di Empangan Klau termasuk hantaran yang mendakwa ikan itu memakan buaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan warga siber mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di perairan berkenaan.
Susulan itu, beliau mengingatkan orang awam agar tidak panik, dengan DOF akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum, merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.
“Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.
“Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air. Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) jika diperlukan,” katanya.
DOF juga akan meneruskan pemantauan lapangan secara berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya, termasuk merekodkan sebarang maklumat atau tangkapan berkaitan, selain mempertingkatkan kesedaran awam mengenai risiko pelepasan spesies ikan asing atau invasif ke perairan umum.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi DOF dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta spekulasi.
The post Belum Ada Bukti Wujud Populasi Pirana Di Empangan Klau – DOF appeared first on The Malaysian Update.






