
PETALING JAYA: Penemuan seekor ikan dipercayai jenis pemangsa di Empangan Klau, Raub Pahang baru-baru disahkan mempunyai ciri-ciri morfologi konsisten dengan kumpulan ikan pirana Pygocentrus.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bagaimanapun pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies belum dapat dibuat disebabkan spesimen fizikal ikan berkenaan tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut beliau, ini kerana ikan terbabit dilaporkan telah mati dan dibuang individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan.
“Setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan tersebut. Siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September 2026 juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa menyerupai jenis piranha di Empangan Klau, Raub sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.
Berdasarkan keterangan individu terbabit, hanya seekor ikan didakwa sebagai pirana ditangkap pada hari kejadian manakala tangkapan lain terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass.
Dalam pada itu Adnan berkata, berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti menunjukkan kewujudan populasi pirana yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.
“Orang awam tidak perlu panik dan pihak kami akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan menegaskan bahawa tindakan melepaskan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.
Beliau berkata, Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak melepaskan semula ke dalam air mana-mana ikan yang disyaki sebagai spesies asing sekiranya ditangkap.
“Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air.
“Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan,” katanya.-UTUSAN.
The post Jabatan Perikanan sahkan ikan pirana ditemukan di Empangan Klau appeared first on Utusan Malaysia.






