Ikan disyaki piranha ditemukan di Empangan Klau, ciri genus Pygocentrus dikenal pasti

LocalEnvironment
17 Sep 2026 • 7:33 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ikan disyaki piranha yang dilaporkan ditangkap menggunakan jala di Empangan Klau, Raub, Pahang.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan ciri seekor ikan yang ditangkap di Empangan Klau, Raub, Pahang bulan lalu adalah konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.

Ikan yang disyaki sebagai red-bellied piranha (Pygocentrus nattereri) itu dilaporkan ditangkap menggunakan jala pada 26 Ogos lalu sebelum maklumat mengenainya tular.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan terhadap gambar dan rakaman video mendapati ciri morfologi ikan berkenaan sepadan dengan genus Pygocentrus.

Bagaimanapun, pengesahan muktamad sehingga peringkat spesies tidak dapat dilakukan kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut selepas ikan berkenaan dilaporkan mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya.

Menurut Adnan, setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap, manakala siasatan dan pemantauan Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September lalu tidak menemukan tangkapan lain atau merekodkan sebarang insiden keselamatan berkaitan.

“Berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti yang menunjukkan kewujudan populasi piranha yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau. Orang awam tidak perlu panik, namun Jabatan akan terus melaksanakan pemantauan bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga:

Dalam pada itu, DOF mengingatkan bahawa tindakan melepaskan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan dan kepelbagaian biologi akuatik.

Orang ramai yang menangkap ikan disyaki spesies asing dinasihatkan supaya tidak melepaskannya semula ke dalam air, sebaliknya menyimpan spesimen berkenaan jika sesuai dan menghubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan.

Pejabat Perikanan Negeri Pahang turut diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya, manakala orang ramai diminta merujuk sumber rasmi serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dan spekulasi.

The post Ikan disyaki piranha ditemukan di Empangan Klau, ciri genus Pygocentrus dikenal pasti appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved