
SHAH ALAM – Dua kebakaran membabitkan premis kilang berlaku selang kira-kira dua jam di sini dan Kapar awal pagi tadi, masing-masing melibatkan gudang memproses sisa plastik dan kilang memproses kayu.
Kebakaran pertama berlaku di Jalan Bukit Kemuning Damai 32/151, Seksyen 32 dengan panggilan kecemasan diterima pukul 10.59 malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seramai 26 anggota daripada empat Buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terlibat dalam operasi pemadaman itu.
Katanya, ini membabitkan BBP Shah Alam, Andalas, Bukit Jelutong dan Klang Utara bersama lapan jentera termasuk unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
“Kebakaran melibatkan dua gudang memproses sisa buangan plastik selain turut memusnahkan tiga forklift, sebuah lori dan dua mesin pemampat yang berada di dalam gudang berkenaan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.20 tengah malam sebelum kerja-kerja pemadaman mencapai 80 peratus kira-kira pukul 1.15 pagi.
“Penilaian awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sistem keselamatan kebakaran,” katanya.
Ketika operasi di Shah Alam masih berlangsung, bomba menerima satu lagi panggilan kecemasan pada pukul 1.04 pagi membabitkan sebuah kilang memproses kayu di Jalan Besar Kapar.
Ashrul Riezal memaklumkan, seramai 24 anggota daripada tujuh balai bomba terlibat dalam operasi itu selain lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rantau Panjang.
“Kebakaran melibatkan kilang seluas 1.6 hektar dengan anggaran 80 peratus kawasan terjejas.
“Operasi pemadaman bagaimanapun berdepan cabaran apabila tiada pili bomba di lokasi, menyebabkan anggota menggunakan lapan aliran pam daripada tangki jentera dengan bantuan lori tangki,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Belum padam api gudang, kilang kayu pula terbakar appeared first on Kosmo Digital.






