Belum Selesai Inkues Zara Qairina, Seorang Lagi Pelajar Jatuh Bangunan Di Sekolah Sama

17 Jul 2026 • 10:04 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Belum pun genap setahun tragedi yang meragut nyawa Zara Qairina Mahathir, seorang lagi pelajar dilaporkan terjatuh dari tingkat satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 15 Julai lalu.

Walau bagaimanapun, pelajar terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan kini menerima rawatan di hospital.

Image from: Belum Selesai Inkues Zara Qairina, Seorang Lagi Pelajar Jatuh Bangunan Di Sekolah Sama

Siasatan awal dakwa tiada unsur jenayah atau buli

Menurut Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam insiden berkenaan.

Namun, kejadian itu kembali mencetuskan kebimbangan ramai, termasuk dalam kalangan peguam yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani isu tingkah laku pelajar di sekolah.

Peguam Datuk Ram Singh menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang membimbangkan memandangkan ia berlaku ketika prosiding inkues kematian Zara Qairina masih belum selesai.

“Mengapa perkara ini berlaku lagi? Inkues ini pun belum selesai, tetapi satu lagi insiden berlaku di sekolah yang sama.
“Kini terdapat begitu banyak kes kanak-kanak jatuh dari bangunan. Ia seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan pelajar,” katanya dalam sidang media selepas inkues kematian Zara Qairina selesai minggu ini.

Image from: Belum Selesai Inkues Zara Qairina, Seorang Lagi Pelajar Jatuh Bangunan Di Sekolah Sama

 

Beliau turut mempersoalkan tindakan Jabatan Pendidikan Sabah yang hanya mengeluarkan kenyataan dua hari selepas kejadian berlaku.

“Jika benar-benar prihatin, keluarkan kenyataan secepat mungkin. Saya berharap pelajar ini akan menerima rawatan atau kaunseling yang sewajarnya,” katanya.

Dalam prosiding inkues hari yang sama, saksi ke-75 iaitu Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo turut memberi keterangan mengenai faktor kesihatan mental yang mungkin mempunyai kaitan dengan latar belakang keluarga Zara Qairina.

“Kami sedang melihat faktor kecenderungan genetik.

“Sesetengah penyakit mental seperti kemurungan atau gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) bukanlah sesuatu yang luar biasa dan boleh diwarisi dalam keluarga.

“Namun, kami tidak mengesahkan hipotesis ini kerana kami tidak pernah memeriksa Zara,” katanya kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Image from: Belum Selesai Inkues Zara Qairina, Seorang Lagi Pelajar Jatuh Bangunan Di Sekolah Sama

Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama perempuan sekolah itu pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian akibat kecederaan dialami. Prosiding inkues berhubung kematiannya ditangguhkan dan akan disambung semula bulan hadapan.

Sumber: Berita Harian (Olivia Miwil), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah

The post Belum Selesai Inkues Zara Qairina, Seorang Lagi Pelajar Jatuh Bangunan Di Sekolah Sama appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved