Kerajaan masih perlu menanggung komitmen hutang lama 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk pembayaran faedah, sekali gus menafikan dakwaan bahawa keseluruhan hutang berkaitan syarikat itu telah diselesaikan.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu hutang negara perlu dibincangkan berlandaskan fakta dan angka yang tepat supaya rakyat tidak mendapat gambaran salah mengenai kedudukan kewangan kerajaan.
“Ada yang menyatakan hutang 1MDB sudah bayar semua. Saya tak tahu daripada mana kitab, di mana dia baca. Tak betul,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, peningkatan jumlah hutang keseluruhan perlu dilihat dalam konteks tanggungan terdahulu yang masih perlu dilunaskan kerajaan.
“Betul, jumlah hutang keseluruhannya bertambah kerana hutang lama harus dibayar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa setiap pinjaman baharu perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar bagi memastikan pengurusan ekonomi negara berjalan secara bertanggungjawab.

Foto arkib: Bernama
Katanya, kerajaan perlu merancang kewangan untuk jangka panjang dan mengelakkan tindakan yang akhirnya meletakkan beban perbelanjaan berlebihan kepada generasi akan datang.
“Kerajaan bertanggungjawab hanya meminjam apa yang perlu untuk mengurus ekonomi. Tetapi kita mesti sentiasa merancang ke hadapan.
“Kita tidak sepatutnya membebankan generasi akan datang untuk membayar keterlaluan yang dilakukan oleh generasi sekarang,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh disiplin fiskal, meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta memastikan setiap wang yang dibelanjakan memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, pengurusan kewangan negara yang baik juga perlu disokong oleh tata kelola kukuh, termasuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan menerusi pengukuhan institusi.
“Pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perkhidmatan Parlimen antara langkah pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh akauntabiliti serta mematangkan demokrasi,” jelas beliau.
Anwar berkata, usaha memperbaiki kedudukan kewangan negara bukan sekadar bergantung pada pengiraan angka, sebaliknya memerlukan komitmen politik untuk membendung ketirisan, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau menegaskan, wang yang berjaya diselamatkan daripada ketirisan perlu dikembalikan untuk kepentingan negara dan rakyat, bukannya menjadi manfaat kepada pihak tertentu.
“Wang yang berjaya diselamatkan daripada ketirisan sepatutnya dikembalikan kepada negara dan rakyat, bukannya dimanfaatkan oleh individu berkuasa,” ujarnya.
Sumber: Malaysia Gazette (Nizam Zain)






