
Dakwaan bahawa semua hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dilunaskan sepenuhnya adalah tidak benar, sebaliknya kerajaan masih perlu menanggung obligasi hutang lama termasuk bayaran faedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbahasan mengenai hutang negara perlu berasaskan fakta dan angka yang tepat, bukannya kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat mengenai kedudukan sebenar kewangan kerajaan.
“Betul, jumlah hutang keseluruhannya bertambah kerana hutang lama harus dibayar.
“Ada yang menyatakan hutang 1MDB sudah bayar semua. Saya tak tahu daripada mana kitab, di mana dia baca. Tak betul,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan perlu mengurus hutang secara bertanggungjawab dengan memastikan pinjaman baharu dibuat berdasarkan keperluan sebenar bagi mengurus ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya membebankan generasi akan datang untuk menanggung perbelanjaan berlebihan yang dilakukan pada masa ini.
“Kerajaan bertanggungjawab hanya meminjam apa yang perlu untuk mengurus ekonomi. Tetapi kita mesti sentiasa merancang ke hadapan.
“Kita tidak sepatutnya membebankan generasi akan datang untuk membayar keterlaluan yang dilakukan oleh generasi sekarang,” katanya.
Anwar berkata, pengurusan hutang perlu dilihat seiring dengan usaha memperkukuh disiplin fiskal, meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta memastikan wang negara digunakan demi kepentingan rakyat.
Beliau turut mengaitkan pengurusan fiskal dengan keperluan memperkukuh tata kelola serta kesediaan kerajaan menyerahkan sebahagian kuasa kepada institusi lain bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan berkesan.
“Pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perkhidmatan Parlimen antara langkah pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh akauntabiliti serta mematangkan demokrasi,” katanya.
Baca juga:Menurutnya, usaha mengurus kewangan negara bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya memerlukan ketegasan politik untuk mengekang ketirisan, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa.
“Wang yang berjaya diselamatkan daripada ketirisan sepatutnya dikembalikan kepada negara dan rakyat, bukannya dimanfaatkan oleh individu berkuasa,” katanya lagi.






