Belum sempat ‘masak’ dadah, makmal RM18.19 juta digempur

16 Oct 2026 • 5:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Belum sempat ‘masak’ dadah, makmal RM18.19 juta digempur

JOHOR BAHRU – Belum sempat ‘kilang’ dadah mereka beroperasi sepenuhnya, tiga individu ditahan polis selepas kegiatan sindiket memproses dadah terbongkar menerusi dua serbuan di sekitar daerah ini pada 1 Oktober lalu.

Serbuan di Taman Megah Ria, Masai dan sekitar Jalan Permas itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM18.19 juta, termasuk lebih 106 kilogram (kg) serbuk MDMA.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menemukan peralatan dan bahan prekursor yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah, sekali gus membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai menjadikan rumah kediaman sebagai lokasi pemprosesan bahan terlarang itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seri Alam.

Menurut beliau, serbuan pertama di Taman Megah Ria, Masai membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang gadis bawah umur berusia antara 17 hingga 22 tahun sebelum pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses bahan terlarang berkenaan.

“Antara rampasan utama ialah 101.64kg serbuk MDMA, 14 liter cecair MDMA, 122.14 gram serbuk ekstasi dan 30 biji pil Erimin 5.

“Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di sekitar Jalan Permas dan merampas tambahan 5.2kg serbuk MDMA serta 23 liter cecair ganja serta pelbagai jenis peralatan memproses dadah.

“Jumlah keseluruhan dadah serta peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM18.19 juta dan mampu memudaratkan kira-kira 426,000 pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan modus operandi menjadikan rumah kedai sebagai stor penyimpanan bahan prekursor dan peralatan memproses dadah.

Manakala rumah teres digunakan sebagai lokasi pemprosesan sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran tempatan.

“Polis percaya sindiket ini baharu sahaja beroperasi dan siasatan awal mereka belum memasarkan dadah yang dihasilkan. Kilang baru nak beroperasi (setup) polis dah serbu.

“Sindiket ini tak sempat nak bawa ahli kimia dari luar negara, jadi mereka tak sempat nak proses dadah serta pasarkan dadah. Berdasarkan siasatan awal ini, kita percaya sindiket ini melibatkan sindiket antarabangsa,”katanya.

Jelasnya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala pemeriksaan rekod mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Suspek pertama berperanan sebagai koordinator sindiket tersebut manakala seorang lagi lelaki bertindak sebagai individu yang menguruskan logistik serta sewa premis.

“Manakala gadis berusia 17 tahun pula merupakan teman wanita kepada suspek pertama,”jelasnya.

Dalam operasi sama, Hussein berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan Toyota Hilux yang dianggarkan bernilai RM105,900 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kesemua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 12 Oktober lalu.-KOSMO! ONLINE

The post Belum sempat ‘masak’ dadah, makmal RM18.19 juta digempur appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved