
BANGKOK – Polis Thailand menahan seorang lelaki Amerika berketurunan Cina selepas serbuan di kediamannya di Pattaya membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah, selain menemukan lebih 60 gram dadah jenis MDMA serta bukti mengaitkan suspek dengan rangkaian pengedaran dadah ke Malaysia, lapor laman berita Thaiger.
Suspek yang hanya dikenali sebagai Liu, 42, ditahan kelmarin selepas polis menggeledah rumahnya di Nong Prue, Chon Buri.
Polis mula menjalankan siasatan terhadap Liu selepas menerima maklumat dia menjual dadah secara rahsia kepada warga asing di Thailand dan luar negara.
Polis kemudian mengumpul bukti serta memperoleh kebenaran mahkamah untuk menggeledah rumahnya.
Di dalam premis tersebut, pegawai polis menemukan sebuah bilik tersembunyi dengan tingkap ditutup rapat yang diubah suai menjadi makmal memproses dadah.
Bilik suspek menyimpan serbuk yang tidak dikenalpasti dan bahan berbentuk kristal, bersama peralatan yang digunakan untuk membancuh dan membungkus dadah.
Polis turut menemukan lebih 60 gram kristal berwarna coklat muda dikenal pasti sebagai MDMA atau ekstasi.
Detektif turut memeriksa telefon bimbit Liu dan menemukan nota tentang cara untuk membancuh dadah.
Telefon bimbit suspek juga mengandungi nama serta alamat penerima di Kuala Lumpur sekali gus menimbulkan syak wasangka berhubung operasi pengedaran antarabangsa. – AGENSI
The post Makmal ekstasi di Pattaya diserbu, bekalan untuk pasaran Malaysia appeared first on Kosmo Online.





