.jpg)
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan kononnya ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, memasuki Kuala Lumpur secara rahsia penghujung tahun lalu, bagi menghadiri beberapa perbincangan sulit yang dikaitkan dengan isu tertunggak membabitkan skandal 1MDB.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut dan menegaskan, siasatan dijalankan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang sedia ada.
“Ini masih merupakan satu dakwaan. Tujuh tahun lalu, saya sendiri belum memegang jawatan ini.
“Justeru, siasatan dijalankan dari semasa ke semasa mengikut proses perundangan yang dibenarkan,” katanya kepada media.
Beliau berkata, polis akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.
Kontroversi terbaharu itu tercetus susulan laporan portal penyiasatan Sarawak Report pada Rabu yang mendakwa, Jho Low menghadiri beberapa siri mesyuarat rahsia di Kuala Lumpur pada penghujung 2025 ketika mengiringi satu delegasi dari China.
Menurut laporan berkenaan, perbincangan tersebut dipercayai berkait dengan usaha menyelesaikan beberapa isu tertunggak melibatkan skandal 1MDB bernilai berbilion dolar antara Malaysia dan China.
Laporan itu turut menyebut, rundingan berkenaan mungkin menyentuh isu sensitif berkaitan dakwaan peranan China dalam membantu mengekang atau mengurus isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika kemuncak kontroversi 1MDB.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah SRC International yang melibatkan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berkaitan dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Jho Low pula kekal sebagai antara individu utama yang dikaitkan dengan skandal global 1MDB dan menjadi subjek siasatan antarabangsa merangkumi beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Beliau dilaporkan melarikan diri dari Malaysia pada 2015 sejurus siasatan terhadap 1MDB dipergiatkan dan sehingga kini masih gagal dikesan, meskipun pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa Malaysia untuk menjejaki serta membawanya pulang.
Dakwaan terbaharu itu sekali lagi menghidupkan perhatian umum terhadap persoalan yang masih belum terjawab berhubung skandal 1MDB.
Sehingga hari ini, 1MDB kekal dianggap antara skandal kewangan terbesar dunia, sekali gus mencetuskan siasatan di pelbagai negara serta mendedahkan dakwaan penyelewengan dana berbilion dolar daripada dana pelaburan strategik milik Malaysia.
Siasatan polis kini dijangka tertumpu kepada usaha mengesahkan sama ada Jho Low benar-benar berada di Malaysia, mengenal pasti individu yang didakwa terlibat dalam pertemuan tersebut serta menentukan sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur keselamatan negara. – Getaran, 15 Mei 2026






