Beberapa hari lalu kami telah melaporkan tentang siri cip pemprosesan akan datang Intel, Razor Lake-AX yang akan dipasarkan sebagai komponen APU yang akan menguasakan penawaran komputer desktop dan juga komputer riba menjelang penghujung tahun 2027.
Terkini, ada satu butiran tambahan yang telah diperlihatkan berkenaan cip pemprosesan tersebut, dan ia adalah penawaran grafik yang akan diperlihatkan. Menurut peniris-peniris maklumat komponen komputer di X seperti Jaykihn, Razor Lake-AX akan hadir dengan sebanyak 16 dan 32 teras grafik GPU Intel Xe3.

Teras Intel Xe3 adalah komponen sama yang menguasakan cip pemprosesan grafik Intel Arc B390 yang kini hadir dalam cip pemprosesan Intel Core Ultra X 300 “Panther Lake”. Sebagai perbandingan, cip grafik Arc B390 memperlihatkan sebanyak 12 teras Xe3, dan mampu menggerakkan pelbagai jenis permainan moden pada resolusi Full HD dan 1440p dengan tetapan pertengahan dan tinggi bergantung kepada jenis permainan.
Dengan penawaran sebanyak 32 teras Xe3, jangkaannya ialah APU Razor Lake-AX ini akan hadir dengan kemampuan untuk mengolah permainan pada tetapan dan resolusi yang lebih tinggi lagi. Ini, dan gabungan memori dalam pakej CPU dijangka akan menghasilkan sebuah SoC yang membolehkan sebarang komputer yang dikuasakan oleh siri cip pemprosesan ini hadir dengan kemampuan keseluruhan yang cukup hebat sekali.






