
PETALING JAYA: Tindakan Kerajaan Johor menutup sementara sebuah kilang perindustrian di Kulai kerana memasang Jalur Gemilang secara terbalik mengundang kritikan pemimpin veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor itu berkata, kerajaan tidak seharusnya lebih zalim daripada harimau dalam menguatkuasakan undang-undang.
Beliau berkata, sekiranya terdapat Undang-Undang Kecil (UUK) yang menetapkan hukuman terhadap kesalahan menggantung bendera, tindakan sewajarnya adalah mengenakan denda yang munasabah dan bukannya menghentikan operasi perniagaan.
“Kalau ada UUK untuk hukuman bagi silap gantung bendera sekalipun, hukumannya tidak boleh menganiaya sehingga menghentikan operasi perniagaan.
“Sekadar denda RM200, RM500 atau RM1,000 sudah memadai. Kerajaan jangan lebih zalim daripada harimau,” katanya di Facebook.
Terdahulu, premis berkenaan dikenakan arahan penutupan sementara selepas pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor didapati tidak mengikut kedudukan yang sepatutnya.
Kesalahan itu dikesan pihak berkuasa tempatan sebelum kedudukan kedua-dua bendera berkenaan segera diperbetulkan oleh pihak premis.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, siasatan turut dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menentukan sama ada wujud unsur kesalahan lain berkaitan kejadian tersebut.
Katanya, pengarah syarikat terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberikan keterangan dan menjelaskan perkara yang berlaku kepada pihak berkuasa.
Chang Khim mempersoalkan kewajaran tindakan menutup operasi perniagaan semata-mata untuk mendapatkan komitmen kehadiran pihak terbabit.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan sama akan dikenakan terhadap institusi lain sekiranya berlaku kesalahan.
“Kalau bank yang silap, nak tutup bank? Kalau pejabat kerajaan silap, tutup pejabat kerajaan?” katanya. – UTUSAN
The post Bendera terbalik: Chang Khim persoal tindakan tutup kilang appeared first on Utusan Malaysia.






