Bengkel peranti jantung inovatif letakkan Malaysia di barisan hadapan rawatan nyawa

LocalHealth & Fitness
3 Sep 2025 • 8:40 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) di Serdang telah menganjurkan bengkel pertama mengenai pemasangan defibrilator paling kurang invasif, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia dalam usaha membendung serangan jantung mengejut, yang menjadi antara punca utama kematian di negara ini.

Bengkel berkenaan, yang diadakan bulan lalu, turut disertai pakar kardiologi tempatan dan Vietnam bagi mempelajari teknik terkini merawat masalah irama jantung berbahaya.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, inisiatif berkenaan menunjukkan komitmen negara bagi meningkatkan penjagaan pesakit.

“Penyediaan perkhidmatan kardiak yang tepat pada masanya dan berkualiti tinggi memerlukan kerjasama berpasukan serta kepimpinan di semua peringkat sistem kesihatan,” katanya yang turut memberi pujian kepada HSIS.

Beliau berkata HSIS baru-baru ini turut diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan, atau Centre of Excellence, Menteri Kesihatan bagi penjagaan kardiak, selaras dengan reputasinya yang semakin berkembang.

Teknik baharu pemasangan defibrilator ini menawarkan rawatan yang lebih selamat dan kurang invasif berbanding pembedahan tradisional, khususnya bagi pesakit muda serta berisiko tinggi.

HSIS turut merekodkan peningkatan 59% dalam prosedur defibrilator antara 2023 dan 2024, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat.

Bagi pakar kardiologi dari Hanoi Heart Hospital, Dr Nguyen Xuan Tuan, latihan tersebut amat bermanfaat.

“Saya memperolehi pandangan penting hari ini dan merancang untuk mengaplikasikan pilihan rawatan yang lebih selamat ini dalam amalan perubatan saya di Vietnam,” katanya.

Sementara itu, pakar kardiologi Dr Mohd Asyiq Al-Fard dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata teknik tersebut memberikan manfaat besar kepada pesakit dialisis serta pesakit muda kerana ia dapat mengurangkan risiko jangka panjang serta membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih aktif.

Statistik menunjukkan penyakit jantung kekal sebagai punca kedua tertinggi kematian di Malaysia, dengan 12,648 kematian akibat penyakit jantung iskemia direkodkan pada 2023, merangkumi hampir 18% daripada semua kematian yang disahkan secara perubatan.

Serangan jantung mengejut tidak hanya melibatkan warga emas sebaliknya kira-kira 35% kes membabitkan individu di bawah umur 60 tahun, dengan kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang gejala awal.

Pakar-pakar menegaskan kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala, khususnya bagi mereka yang mengalami simptom seperti jantung berdebar-debar, pengsan, atau mempunyai sejarah keluarga kematian mengejut akibat jantung.

Kadar kelangsungan hidup untuk kes serangan jantung di luar hospital kekal di bawah lima peratus, menjadikan langkah pencegahan dan rawatan lanjutan semakin kritikal.

HSIS memaklumkan pihaknya akan menganjurkan bengkel latihan secara berkala untuk doktor serantau, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab penjagaan jantung inovatif serta memberi peluang kepada pesakit, khususnya golongan muda, untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan aktif. — 3 September, 2025