GEORGE TOWN – Sebuah bengkel yang dijadikan struktur sementara di Kompleks Makanan Jalan Datuk Keramat di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kebakaran petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.51 petang itu, kebakaran turut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback serta 10 buah motosikal pelbagai jenis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak tiba di lokasi dua minit kemudian.
“Operasi pemadaman diketuai oleh seorang komander bersama 10 anggota dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu EMRS.
“Kebakaran melibatkan sebuah bengkel kelas C berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3 petang sebelum dipadam sepenuhnya 12 minit kemudian menggunakan kaedah serangan ‘offensive’ dan ‘defensive’.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
"Bagaimanapun, sebuah kereta dilaporkan terbakar sehingga 90 peratus manakala beberapa motosikal turut mengalami kerosakan antara 10 hingga 90 peratus. Identiti pemilik kenderaan masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Tambah beliau, selepas api dipadamkan, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.12 petang.
"Kes seterusnya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Dalam pada itu, Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut memberikan khidmat nasihat serta membantu mengumpul maklumat pemilik yang terlibat bagi tindakan susulan," ujarnya.
Operasi turut mendapat bantuan polis serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Perak Lane.

