
PUTRAJAYA, 10 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) sedang menilai pelbagai kemungkinan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk bentuk kerjasama politik yang masih belum dimuktamadkan.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka belum dibubarkan, justeru masih terdapat ruang untuk meneliti perkembangan politik semasa sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Pakatan Harapan (HARAPAN) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akan terus berusaha meyakinkan rakyat, namun keputusan sebenar hanya akan ditentukan melalui kertas undi pada pilihan raya.
“Kita akan cuba meyakinkan rakyat kerana akhirnya kertas undi yang akan menentukan kemenangan, bukan suara-suara sebelum pilihan raya,” katanya.
Dato’ Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor 2027 di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.
Jelas Amirudin, perbincangan secara tidak rasmi bersama beberapa pemimpin utama parti turut diadakan bagi meneliti formula terbaik untuk menghadapi PRN Melaka.
Katanya, landskap politik ketika ini semakin dinamik dan tidak lagi terikat kepada formula politik yang tetap, sekali gus menyaksikan proses cuba jaya dalam menentukan pendekatan terbaik bagi menghadapi pilihan raya.
“Semua pemimpin diuji melalui pilihan raya dan ini merupakan sebahagian daripada proses kematangan politik,” katanya.
Amirudin berkata, perkembangan politik semasa akan terus dipantau sebelum HARAPAN menentukan pendekatan terbaik bagi menghadapi PRN Melaka.






