BeONE Mobile muncul operator mudah alih baharu, tawar pelan 5G disokong rangkaian Maxis

LocalTechnology
28 Sep 2026 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BeONE Mobile muncul operator mudah alih baharu, tawar pelan 5G disokong rangkaian Maxis Image from: BeONE Mobile muncul operator mudah alih baharu, tawar pelan 5G disokong rangkaian Maxis amree28/09/2026 - 16:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept — Pasaran telekomunikasi mudah alih Malaysia menerima pemain baharu dengan BeONE Mobile dilancarkan secara rasmi melalui pendekatan berasaskan komuniti, menawarkan pelan prabayar 5G serta peluang keusahawanan menerusi rangkaian ejen tempatan.

 

Disokong rangkaian Maxis, pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) itu menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan B40, belia, pekerja gig dan peniaga kecil yang bukan sahaja memerlukan akses telekomunikasi mampu milik, malah berpotensi menjana pendapatan tambahan.

 

Operator tersebut turut mengetengahkan model ejen tempatan dengan menyediakan latihan kemahiran digital, peralatan serta sokongan bagi membolehkan individu berkenaan dapat mengendalikan aspek perniagaan mikro tanpa memerlukan premis atau modal permulaan yang besar.

 

"Pendekatan ini turut membuka ruang kepada komuniti e-hailing untuk menyertai ekonomi digital melalui program keusahawanan yang membolehkan mereka menjadi ejen BeONE Mobile sambil meneruskan pekerjaan utama," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.

 

Pelancaran rasmi rangkaian itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dengan Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Mobile, Ameen Amaendran, selain dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, rakan kerjasama dan komuniti BeONE Mobile.

 

Sementara itu, Ameen berkata, BeONE Mobile dibina atas pendekatan bahawa pelanggan perlu mendapat khidmat daripada individu dalam komuniti mereka sendiri, termasuk bagi urusan pendaftaran, pertukaran rangkaian dan penyelesaian masalah selepas jualan.

 

BeONE Mobile_DagangNews2026

 

Justeru, bersempena pelancaran, syarikat turut memperkenalkan Program Keusahawanan BeONE untuk Komuniti E-Hailing yang menyediakan latihan, peralatan digital serta produk dan perkhidmatan untuk diperkenalkan ejen kepada rangkaian kenalan mereka.

 

"Selain itu, Inisiatif SIM Komuniti dimulakan di Lembah Pantai dengan menawarkan SIM BeONE Mobile yang dilengkapi data tambahan bagi membantu penduduk setempat meningkatkan akses kepada internet, komunikasi dan perkhidmatan dalam talian," jelas beliau.

 

Dari segi penawaran, BeONE Mobile menyediakan pelan prabayar termasuk Daily dengan 3GB, Weekly 15GB, serta M25 dan M30 dengan 150GB, manakala pelan M38 menawarkan 300GB bagi nombor baharu dan 350GB untuk pelanggan yang mengekalkan nombor sedia ada.

 

Pelan M48 pula katanya, menawarkan sehingga 450GB untuk nombor baharu dan 550GB bagi pelanggan daripada nombor rangkaian lain, di samping pilihan tempoh sah 365 hari pada harga RM38 setahun. Semua perkhidmatan menyediakan akses 5G menerusi rangkaian Maxis.

 

Kumpulan itu turut akan terus memperluas rangkaian ejen di seluruh negara, memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu serta bekerjasama dengan komuniti dan rakan strategik bagi memperluas akses dan membangunkan ekosistem keusahawanan tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved