
KUALA LUMPUR - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mengelar leher dan pergelangan tangannya, selepas dihalang daripada bertemu teman lelaki dalam kejadian di Jonker Walk, Melaka Ahad lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian kira-kira jam 10.33 malam itu dipercayai berlaku selepas mangsa berang apabila ibu angkatnya yang berusia 49 tahun tidak membenarkannya bertemu teman lelaki yang berusia 17 tahun.
Menurut beliau, mangsa kemudian masuk ke sebuah bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan sebelum mencederakan dirinya menggunakan sebilah pisau.
“Ibu angkat mangsa mendakwa remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan dipercayai di bawah pengaruh vape ‘mushroom’ sebelum kejadian berlaku.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan di Zon Kuning Unit Kecemasan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Dzulkhairi berkata, hasil siasatan mendapati remaja terbabit mula terdedah kepada penggunaan vape tersebut selepas diperkenalkan teman lelakinya yang juga pelajar Tingkatan Empat sejak Februari lalu.
Katanya, ibu angkat mangsa turut bertindak merampas vape berkenaan bagi menghalang ia terus digunakan remaja itu, dan siasatan mendapati alat terbabit diperoleh daripada teman lelaki mangsa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap semua individu yang terlibat termasuk ibu angkat dan penghuni rumah berusia antara 14 hingga 17 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai terdapat unsur pengabaian terhadap mangsa. Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka selepas ditemui mengalami kecederaan di bahagian leher di sebuah rumah sekitar Banda Hilir.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dilaporkan berkata, remaja terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau oleh pasukan perubatan. - Getaran, 28 Mei 2026




