
MELAKA - Perbuatan seorang remaja perempuan yang cuba cuba menggugurkan kandungannya dengan mengambil pil terbongkar, selepas dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat pendarahan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, cubaan menggugurkan kandungan berusia lima bulan itu turut melibatkan teman lelaki remaja terbabit.
Menurut beliau, kejadian pada 25 April itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka pada jam 6.50 petang.
“Remaja berusia 17 tahun 10 bulan itu tiba dalam keadaan berlumuran darah dan dipercayai mengalami pendarahan selepas mengambil pil pengguguran, selain berdepan komplikasi apabila rahim gagal mengeluarkan kandungan sepenuhnya.
“Siasatan lanjut mendapati remaja berkenaan bersama teman lelakinya yang berusia 18 tahun merancang untuk menggugurkan kandungan tersebut dengan mengambil pil,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.
Jelas Dzulkhairi, teman lelaki berkenaan turut mengambil janin dari rumah remaja itu dan merancang untuk menanamnya di belakang rumah.
“Bagaimanapun, janin tersebut terlebih dahulu disembunyikan di dalam sebuah kereta,” katanya.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan suspek lelaki pada jam 11.40 malam hari yang sama, bagi membantu siasatan.
“Remaja perempuan itu pula ditahan pada jam 3.15 petang semalam sejurus dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Melaka, dan arahan telah diperoleh untuk mendakwa suspek lelaki di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, manakala suspek perempuan di bawah Seksyen 315.
Seksyen 318 melibatkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan melupuskan mayat secara rahsia, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Seksyen 315 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan dengan niat menghalang kelahiran hidup atau menyebabkan kematian selepas kelahiran, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya.
Kedua-dua suspek dijadualkan didakwa pada Jumaat ini. - Getaran, 6 Mei 2026





