Berapa banyak lagi nyawa perlu dikorbankan

LocalPolitics
7 Apr 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Cadangan menjatuhkan hukuman lebih berat seperti penjara seumur hidup bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabuk atau dadah. Gambar hiasan.

TERASA hiba hati ini mendengar perkongsian keluarga kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh kereta dipandu pemuda didakwa berada di bawah pengaruh alkohol serta dadah di Jalan Raya Barat, Klang pada 29 Mac lalu.

Penulis mengamati luahan isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, yang mengungkapkan 'nyawa dibalas nyawa' ketika hadir ke Mahkamah Majistret Klang di mana suspek, R Saktygaanapathy, 28, direman.

Ia bukan sekadar ungkapan, tetapi jeritan hati seorang isteri yang kehilangan suami. Ibu kepada tiga anak itu juga terpaksa meneruskan kehidupan tanpa sosok yang menjadi tunjang keluarga.

Kenyataan tegas dan penuh emosi itu menggambarkan betapa dalam luka ditanggungnya, dalam masa sama menuntut keadilan terhadap kehilangan yang tidak sepatutnya berlaku.

Wanita tersebut juga berhasrat memfailkan saman RM1 juta ke atas tertuduh meskipun menurut peguam yang mewakilinya, jumlah sebenar belum dimuktamadkan berdasarkan beberapa faktor.

Dari sudut perundangan, kes ini menyaksikan suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pertuduhan berat yang membawa kepada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman gantung.

Suspek turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas mengaku bersalah mengambil bahan terlarang jenis Benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC).

Namun di sebalik perkembangan kes, timbul persoalan lebih besar yang wajar direnungi iaitu adakah sistem sedia ada benar-benar cukup untuk mengekang tragedi sebegini daripada berulang?

Ada yang berpendapat bahawa kes kematian akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah hanya sebahagian kecil daripada statistik kemalangan jalan raya, malah data menunjukkan angka tersebut kurang daripada 0.5 peratus sejak 2022 hingga Jun tahun lalu.

Tetapi dalam konteks kemanusiaan, sebenarnya angka tidak pernah menceritakan keseluruhan kisah.

Bagi keluarga mangsa, kebarangkalian kehilangan bukan lagi soal peratusan, ia adalah 100 peratus realiti yang terpaksa ditanggung seumur hidup.

Di sinilah wujudnya satu ilusi selamat dalam kalangan masyarakat, seolah-olah risiko itu kecil maka ancamannya tidak mendesak.

Hakikatnya, setiap kelonggaran dalam penguatkuasaan atau sikap sambil lewa di atas jalan raya membuka ruang kepada tragedi sama untuk berulang kembali.

Justeru, sudah tiba masanya perbincangan serius dibuat berhubung keperluan memperketatkan undang-undang sedia ada, termasuk cadangan menjatuhkan hukuman lebih berat seperti penjara seumur hidup bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabuk atau dadah.

Pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) juga wajar dipertimbangkan, khususnya dalam memastikan pesalah bertanggungjawab penuh menghulurkan ganti rugi kepada keluarga mangsa.

Cadangan mewujudkan mekanisme pampasan mandatori atau ‘diyat’ seperti dibangkitkan beberapa tokoh agamawan juga tidak harus dipandang sepi.

Dalam situasi di mana nyawa melayang akibat kecuaian, keadilan bukan sahaja perlu dilihat dari sudut hukuman tetapi juga pembelaan terhadap mereka yang ditinggalkan.

Tragedi di Jalan Raya Barat ini sepatutnya menjadi titik tolak, bukan sekadar meratapi kehilangan tetapi juga menilai semula sejauh mana Malaysia serius melindungi nyawa di jalan raya.

*Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian