
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (29 Mac), tular di media sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor.
Menerusi video tular, seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz bin Omar maut akibat dirempuh sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu oleh seorang pemuda berusia sekitar 20-an.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi, kelihatan Honda City berkenaan dipandu laju memotong masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh dan melanggar motosikal yang dinaiki mangsa.
Ekoran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Hasil ujian saringan mendapati pemandu Honda City terbabit positif alkohol dan dadah.
Pemandu Honda City terbabit kini ditahan reman selama empat hari bermula 30 Mac sehingga 2 April bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, polis mengesahkan seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam insiden di Jalan Raya Barat, Klang…
Posted by BuzzKini on Sunday 29 March 2026
Baca Artikel Berkaitan: Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Mabuk, Ramai Gesa Undang-undang Lebih Ketat
Pembangkang Desak Kerajaan Kaji Hukuman Mati Terhadap pemandu Mabuk Sebabkan Kematian
Susulan itu, blok pembangkang menggesa kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Menurut Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, cadangan tersebut dibuat susulan kemalangan tragis yang meragut nyawa Ahmad Hafiz, semalam (29 Mac).
Jelasnya, insiden terbabit bukanlah sekadar satu kemalangan, sebaliknya ia satu bentuk kecuaian melampau yang sepatutnya dianggap sebagai jenayah berat.
Hukuman Sedia Ada Gagal Beri Kesan Pencegahan
Terang Wan Ahmad Fayhsal, hukuman sedia ada dilihat gagal memberi kesan pencegahan apatah lagi kejadian sebegitu terus berulang.
“Ini membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan,” katanya.
Tambah Wan Fayhsal, cadangan tersebut bukanlah untuk menghukum sebaliknya ia boleh menjadi mesej bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan serta perbuatan yang membahayakan orang lain bakal berdepan dengan akibat paling berat.
Pemandu Mabuk Pilih Untuk Memandu Wajar Dianggap Ada Niat Untuk Membunuh
Tegasnya lagi, apabila seseorang yang berada di bawah pengaruh alkohol memilih untuk memandu, undang-undang seharusnya menganggap tindakan itu sebagai niat untuk membunuh.
Ini kerana perbuatan tersebut mempunyai risiko tinggi yang boleh meragut nyawa orang lain.
“Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀𝐃𝐄𝐒𝐀𝐊 𝐊𝐄𝐑𝐀𝐉𝐀𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐉𝐈 𝐇𝐔𝐊𝐔𝐌𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐓𝐈 𝐓𝐄𝐑𝐇𝐀𝐃𝐀𝐏 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐃𝐔 𝐌𝐀𝐁𝐔𝐊 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐌𝐄𝐍𝐘𝐄𝐁𝐀𝐁𝐊𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐌𝐀𝐓𝐈𝐀𝐍1. Blok pembangkang…
Posted by Wan Ahmad Fayhsal on Sunday 29 March 2026
Pandu Dalam Keadaan Mabuk Hingga Ragut Nyawa Orang Lain Tindakan Bunuh Dengan Sengaja – Ketua Pemuda Pas
Pada masa yang sama, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut memberi pandangan yang sama berhubung insiden yang tular itu.
Tegasnya, perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian merupakan tindakan membunuh dengan sengaja.
“Orang yang mabuk, memandu, langgar orang sampai mati, patut dihukum mati!” jelasnya.
Saran Menteri Pengangkutan Ambil Tindakan Tegas
Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin turut menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke agar mengambil langkah tegas tanpa kompromi bagi menangani isu berkenaan.
Jelasnya, pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol bukan sahaja melanggar undang-undang namun turut memberi ancaman kepada nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan perlu memperkasa pelaksanaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A, dengan mengenakan hukuman yang lebih tegas kepada pesalah pemandu mabuk.
“Tidak perlu lagi sekadar menggantung lesen, pesalah wajar terus dihitamkan (blacklist) seumur hidup daripada memandu. Hukuman penjara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 mesti dilaksanakan secara konsisten dan tegas, kerana dalam soal nyawa rakyat, tiada ruang untuk kompromi,” jelasnya.
Kerajaan Cadang Pinda Akta, Pemandu Mabuk Perlu Bayar Ganti Rugi Kepada Keluarga Mangsa
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan menjelaskan pihaknya sedang merangka cadangan untuk pindaan lanjut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Cadangan pindaan itu mewajibkan individu yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol perlu membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain dijatuhi hukuman penjara.
Menurut Anthony, pindaan undang-undang berkaitan sebelum ini telah diluluskan di Dewan Rakyat dan telahpun berkuatkuasa pada Oktober 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada si pelaku.
“Menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun.
“Ia serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan. Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000,” terangnya.
Baca Artikel Berkaitan: Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Mabuk, Ramai Gesa Undang-undang Lebih Ketat
Baca Artikel Berkaitan: Atlet Kayak Negara Dilanggar & Diseret Pemandu Mabuk Sejauh 600 Meter
