DI tengah-tengah persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, kemunculan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif sebagai calon Pas mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN N17 Bukit Katil menampilkan kisah menarik seorang profesional yang sanggup meninggalkan kerjaya tetap dalam perkhidmatan awam untuk memikul amanah politik.
Pada usia 42 tahun, beliau berdepan tugas mencabar untuk merampas kerusi tersebut daripada penyandang berpengalaman, Adly Zahari, bekas Ketua Menteri Melaka yang kini merupakan Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka.
Pertandingan empat penjuru ini turut melibatkan Dr Aliza Che Amran daripada Bersama, bekas pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dan Datuk Abu Bakar Sabudin, Ketua UMNO Cawangan Taman Bukit Katil, yang bertanding sebagai calon Bebas selepas hasratnya untuk dicalonkan atas tiket Barisan Nasional (BN) tidak kesampaian.
Berdasarkan keputusan PRN Melaka 2021, kerjasama BN–PN secara matematik memberikan kelebihan kepada Ridzuan. Ketika itu, Adly mempertahankan Bukit Katil dengan memperoleh 6,805 undi, sekali gus menewaskan calon BN yang mendapat 5,748 undi dan calon PN sebanyak 3,715 undi.
Jika undi kedua-dua parti digabungkan, jumlahnya mencecah 9,463 undi, iaitu 2,658 undi melebihi jumlah undi yang diperoleh Adly.
Bagaimanapun, perkiraan di atas kertas tidak semestinya diterjemahkan kepada keputusan sebenar kerana pemindahan undi (vote transferability) antara penyokong kedua-dua parti bukan sesuatu yang berlaku secara automatik.
Cabaran ini semakin kompleks apabila mengambil kira perubahan komposisi pemilih Bukit Katil, yang kini berjumlah 35,359 orang, termasuk 17,547 pemilih berusia antara 18 hingga 40 tahun (49.63 peratus).
Kehadiran calon Bebas yang mempunyai hubungan dengan akar umbi UMNO turut mewujudkan unsur persaingan tambahan, khususnya apabila Abu Bakar mengakui masih menjadi ahli UMNO ketika mengambil keputusan untuk bertanding.
Keadaan tersebut menjadikan kesepakatan jentera, penerimaan calon dan keupayaan menjelaskan kerjasama Pas–BN kepada pengundi sebagai antara aspek penting sepanjang kempen.
Sejarah pilihan raya Malaysia pernah memperlihatkan cabaran sedemikian. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, Abdul Muttalib Salleh, calon Bebas yang pernah mewakili UMNO, berjaya menewaskan Mohamed Ghazali Ahmad, calon Pas yang bertanding atas tiket BN di DUN Batu Burok, Terengganu, dengan majoriti hanya 145 undi.
Kajian Ilyas Abdullah dan Nurul Saadatun Nadiah Mohd Ngah (2023) mengaitkan kekalahan tersebut dengan penentangan sebahagian penyokong terhadap pemilihan calon Pas untuk mewakili BN.
Walaupun konteks politik dan kekuatan calon berbeza, peristiwa ini memberikan pengajaran bahawa kesepakatan pemimpin parti di peringkat atasan belum tentu dapat menjamin kesepakatan penyokong di akar umbi.
Justeru, persaingan di Bukit Katil bukan sekadar ujian terhadap keupayaan peribadi Ridzuan menghadapi seorang penyandang berprofil tinggi, tetapi juga ujian terhadap keberkesanan kerjasama Pas–BN dalam menterjemahkan persefahaman politik kepada kesatuan jentera dan sokongan pengundi.
Faktor inilah yang menjadikan gerak kerja lapangan, hubungan peribadi dengan masyarakat dan penerimaan merentas parti begitu penting dalam kempen beliau.
Pada masa yang sama, pemilihan Ridzuan oleh Pas menarik perhatian kerana latar belakangnya menggabungkan kelayakan akademik, pengalaman teknikal, kepimpinan organisasi dan penglibatan masyarakat.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Putra Malaysia, beliau turut memiliki Diploma Eksekutif Penguatkuasaan Undang-Undang dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan siber.
Pengalaman hampir 20 tahun dalam perkhidmatan kesihatan awam, termasuk mengetuai bidang kesihatan persekitaran dan penguatkuasaan, memberikan beliau pengetahuan mengenai pentadbiran kerajaan.
Rakan serta jentera Pas melihat keperluan mengetengahkan calon berlatarbelakangkan profesional atau teknokrat untuk Bukit Katil. Justeru, pencalonannya boleh dilihat sebagai pendekatan PAS yang menggabungkan pengalaman pentadbiran dengan kepimpinan akar umbi.
Menariknya, Ridzuan sendiri mengakui tidak pernah merancang untuk menjadi calon. Dalam hantaran Facebooknya, beliau menyatakan bahawa sebelum ini dirinya hanya membantu calon lain.
Pada hari pertama berkempen, beliau berseloroh mengenai gelaran YB sebagai “Yang Bersara”, sebelum menyatakan bahawa beliau lebih menyukai maksud “Yang Berkhidmat”.
Dalam wawancara dengan Buletin Online, beliau menceritakan bagaimana pencalonannya mengejutkan ahli keluarganya. Ridzuan mendapatkan pandangan ibunya, berbincang dengan isteri serta menunaikan solat istikharah.
Beliau turut menyatakan bahawa mungkin akan menolak sekiranya panggilan itu datang daripada orang lain dan bukannya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Lebih besar lagi ialah keputusan meninggalkan kerjaya tetap selepas hampir dua dekad berkhidmat. Apabila ditanya sama ada beliau telah meletakkan jawatan, jawapannya ringkas, “Ya, saya resign.”
Menurutnya, pengalaman dalam perkhidmatan awam mendedahkan keperluan rakyat yang tidak semuanya dapat diselesaikan melalui kedudukan dalam pentadbiran. Beliau mahu terlibat dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah masyarakat secara lebih langsung.
Corak pemikiran keagamaannya turut jelas dalam tulisan peribadi. Ridzuan mengingatkan agar seseorang tidak terlalu mengejar kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab.
Beliau berpandangan bahawa amanah kepimpinan bukan sekadar dinilai oleh manusia, tetapi akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Dalam tulisan bertajuk Ujian Kita Tak Sama, ketika menziarahi pasangan yang sakit, beliau menekankan bahawa manusia mungkin tidak mampu menghilangkan semua penderitaan, tetapi masih mampu hadir, bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.
Nilai yang dinyatakan itu mempunyai kaitan dengan pengalaman kemasyarakatannya. Sejak menetap di Bukit Katil pada 2010, beliau berkhidmat sebagai imam dan pengerusi Surau Ukhwah Islamiah.
Seorang penduduk, Hashim Abdullah, 70, mengenang usaha Ridzuan bersama penduduk mengumpulkan dana ketika surau menghadapi masalah kewangan pada 2011. Hashim turut menyifatkan beliau sebagai penyabar, mudah bergaul dan tidak panas baran.
Pujian terhadap keperibadiannya turut muncul di Facebook. Mashrul Zahrin Masbi menggambarkan Ridzuan sebagai individu yang mudah didekati, sopan santun dan berbudi bahasa.
Shiekh Ibnu Faisol, yang pernah mengikuti usrah bersamanya, pula menyifatkan beliau sebagai seorang yang menjaga akhlak dan adab. Mohd Khairil menyatakan bahawa semua cerita yang diterimanya daripada bekas kakitangan bawahan Ridzuan adalah positif.
Satu lagi dimensi menarik ialah hubungan Ridzuan dengan rakan politik serta lawannya. Di peringkat Pas dan UMNO, terdapat bukti kerjasama jentera yang nyata.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hadir mengiringi beliau pada hari penamaan calon, manakala Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengunjungi bilik gerakannya.
Ridzuan turut berkempen sepentas dengan Datuk Mohd Noor Helmy, calon BN bagi DUN Duyong, selain bertemu Datuk Ridhwan Ali, calon BN bagi DUN Ayer Molek, di bilik operasi BN Ayer Molek.
Kerjasama ini diperluas melalui ziarah bersama jentera BN, termasuk di PDM UMNO Taman Saujana 2, Bukit Pulau, Kampung Bukit Katil dan Bukit Katil Indah. Penerimaan di peringkat akar umbi turut tergambar melalui perkongsian Ridzuan mengenai seorang Ketua Wanita UMNO di Kampungku Sayang yang meluahkan, “Sudah lama kami inginkan perpaduan, kan kita semua orang Melayu.”
Lebih menarik, ceramah kelompok PN turut menampilkan barisan pemimpin dan aktivis UMNO, antaranya Datuk Wira Haji Hasnoor Sidang Hussin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya (UDM Kampung Bukit Katil); Nur Nafishah Safian, Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya (UDM Kampung Bukit Katil); Tamby Suleiman Tamby Abu Bakar, AJK UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya (UDM Paya Ikan); Abu Hurairah Hashim, Ketua Penerangan UMNO DUN Bukit Katil (UDM Bukit Pulau); Safirul Amar Haji Azmi, AJK Pemuda UMNO Hang Tuah Jaya (UDM Bukit Beruang); dan Dato’ Hasnal Rezua Merican, Ketua UMNO Bahagian Selayang (UDM Bukit Baru Dalam).
Hubungan mesra itu tidak terbatas dalam kalangan sekutu politik. Ridzuan turut berkongsi pengalaman bergambar dan beramah mesra bersama Adly selaku calon PH serta Dr Aliza selaku calon Bersama ketika bertemu di Pasar Malam Bukit Baru.
Beliau juga menghadiri majlis tahlil bersama Adly di Surau Tabah, Bukit Baru. Episod ini memperlihatkan contoh persaingan pilihan raya yang tidak menghalang hubungan sosial dan sikap saling menghormati antara calon daripada parti berlainan.
Dari sudut corak kempen, Ridzuan banyak menonjolkan pendekatan peribadi melalui solat berjemaah, sarapan di warung, ziarah dari rumah ke rumah, kunjungan ke pasar serta ceramah kelompok.
Semua ini diperluas melalui Facebook, video, siaran langsung dan podcast. Sebaliknya, Adly selaku Pengerusi PH Melaka berdepan cabaran untuk mengimbangi usaha mempertahankan Bukit Katil dengan tugas mengetuai PH Melaka yang bertanding di 24 DUN.
Apabila Ridzuan membuka ruang pertanyaan dan cadangan melalui Facebook, ruangan komennya bertukar menjadi medan penduduk meluahkan pelbagai masalah yang dihadapi sejak sekian lama.
Ustaz Muhammad Fuad, umpamanya, memaklumkan bahawa penduduk Taman Merak Mas mengalami gangguan bekalan air lebih daripada 10 kali sepanjang tahun ini.
Muhammad Nurhaqkim Abdul Rahman menggesa agar pelebaran jalan Bukit Katil–Duyong–AMJ Semabok dipercepatkan, selain mencadangkan pembinaan sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah menengah dan klinik desa baharu.
Farid Ibrahim turut membangkitkan kekurangan sekolah menengah berikutan pertambahan kawasan perumahan, manakala Yudzaimie Yunus mencadangkan pembinaan balai polis kerana balai berhampiran hanya terdapat di MITC Ayer Keroh.
Aduan berkaitan infrastruktur lebih membimbangkan apabila Afham Hassan menceritakan keresahan penduduk Taman Putra dan kawasan belakang Hospital Melaka setiap kali hujan kerana sistem perparitan yang didakwanya tidak dinaik taraf sejak 50 tahun lalu, walaupun pembangunan di kawasan sekitar semakin pesat.
Wei Cheng pula membangkitkan risiko kemalangan di persimpangan jalan akibat kenderaan membuat pusingan U, sementara Shahrul Nizam mengadu tentang penghadang jalan yang menghalang pandangan pemandu.
Deel Akhbar mencadangkan agar padang bola Taman Bukit Katil dinaik taraf dengan trek joging, manakala Muhammad Afiq mengusulkan sistem aduan sehenti yang mudah diakses penduduk.
Pelbagai luahan ini memperlihatkan bahawa keperluan masyarakat Bukit Katil bukan sekadar projek pembangunan besar, tetapi juga penyelesaian kepada masalah asas yang menyentuh keselamatan, keselesaan dan kualiti kehidupan seharian.
Pada masa yang sama, perkara ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penyelesaian masalah setempat sepanjang tempoh perkhidmatan Adly yang pernah menjadi Ketua Menteri Melaka dan kini masih berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
Tambahan pula, beliau turut memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Alor Gajah, kawasan yang berbeza daripada Bukit Katil yang terletak di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya. Walaupun sebahagian masalah melibatkan bidang kuasa agensi berlainan, keadaan tersebut menimbulkan persoalan tentang keupayaan mengimbangi tanggungjawab di peringkat DUN, Parlimen dan kerajaan Persekutuan.
Menyedari keperluan masyarakat ini, Ridzuan mengemukakan empat teras tawaran yang menumpukan penyelesaian masalah harian penduduk melalui pendekatan yang menggabungkan bantuan langsung, pembangunan komuniti dan kerjasama dengan agensi kerajaan.
Teras pertama, kebajikan, keluarga dan pendidikan, mencadangkan subsidi 50 peratus yuran asuhan kanak-kanak bagi keluarga yang layak, khususnya golongan B40, selain program tuisyen percuma dan kelas literasi kewangan untuk membantu keluarga mengurus perbelanjaan serta simpanan.
Teras kedua, rekreasi dan kebersihan persekitaran, menumpukan pembangunan kawasan rekreasi mesra keluarga dan penyelesaian isu anjing liar secara berperikemanusiaan.
Teras ini berkait dengan pengalaman profesional Ridzuan dalam bidang kesihatan persekitaran, khususnya kepentingan keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan komuniti.
Teras ketiga, kemahiran, belia dan kerjaya, menawarkan latihan kemahiran bersama kolej komuniti dan penyedia latihan tempatan, pusat padanan pekerjaan, sokongan kebajikan serta peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya (OKU).
Turut dicadangkan ialah pembinaan pusat rehat khusus untuk penghantar makanan dan barangan. Pendekatan ini mengiktiraf keperluan meningkatkan kebolehpasaran penduduk serta kebajikan pekerja ekonomi gig.
Teras keempat, infrastruktur dan trafik cekap, memberikan penekanan kepada sistem penyelarasan aduan melalui wakil penghubung komuniti dan pemantauan prestasi penyelesaian, selain kajian teknikal untuk mengurangkan kesesakan jalan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tawaran ini mempunyai kaitan langsung dengan keluhan penduduk mengenai kesesakan, jalan rosak, saliran dan prasarana yang memerlukan tindakan bersepadu.
Secara keseluruhannya, keempat-empat teras ini memperlihatkan pendekatan pembangunan yang berorientasikan keperluan setempat, bukannya semata-mata projek berskala besar.
Penekanannya terhadap bantuan bersasar, penggunaan kemudahan sedia ada dan kerjasama agensi memberikan asas pelaksanaan yang boleh diperincikan secara berperingkat. Bagaimanapun, keberhasilannya tetap bergantung pada peruntukan, bidang kuasa dan kesediaan pihak berkaitan.
Di sinilah pengalaman Ridzuan dalam pentadbiran kerajaan menjadi relevan, khususnya untuk menterjemahkan aduan masyarakat kepada tindakan yang tersusun, boleh dipantau dan dipertanggungjawabkan.
Dari sudut demografi, Bukit Katil mempunyai 35,359 pemilih, terdiri daripada 23,632 Melayu (66.83 peratus), 10,306 Cina (29.15 peratus), 1,352 India (3.82 peratus) dan 69 daripada kaum lain (0.20 peratus).
Wanita membentuk sedikit majoriti dengan 18,057 pemilih (51.07 peratus), manakala 17,547 orang (49.63 peratus) berusia antara 18 hingga 40 tahun. Sebanyak 6,628 pemilih (18.74 peratus) pula berusia lebih 60 tahun.
Komposisi ini memperlihatkan sebuah kawasan yang mempunyai keperluan merentas kaum, generasi dan latar sosioekonomi, sekali gus menjadikan isu kebajikan keluarga, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam sebagai antara pertimbangan penting dalam pilihan raya.
Berdasarkan perkembangan kempen setakat ini, Ridzuan memperlihatkan usaha mendekati pelbagai lapisan masyarakat melalui kunjungan ke kampung tradisional, taman perumahan, pasar pagi, pasar malam, institusi pendidikan dan rumah ibadat.
Pertemuannya dengan masyarakat Cina dan India, kegiatan bersama golongan belia, ziarah warga emas serta perhatian terhadap kebajikan keluarga dan OKU menunjukkan kepelbagaian pendekatan kempen yang dilaksanakan.
Pertemuan Ridzuan dengan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, turut mendapat perhatian apabila beliau berkongsi bukan sahaja nasihat dan doa yang diterimanya, malah seruan terbuka Ustaz Azhar supaya pengundi Bukit Katil memilih Ridzuan. Ridzuan turut menghadiri program Santai Orang Melaka bersama Ustaz Azhar Idrus di MITC pada 7 November yang menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.
Sementara itu, beberapa pengulas Facebook menyuarakan harapan agar kepakaran profesional beliau dimanfaatkan dalam pentadbiran negeri.
Muhd Nur Aiman, misalnya, berharap agar Ridzuan dipertimbangkan sebagai EXCO Kesihatan sekiranya menang kerana memahami selok-belok sektor kesihatan Melaka. Juki Mzzul pula bertanyakan visi, misi dan langkah proaktif yang akan dibawanya sekiranya diamanahkan portfolio berkenaan. Perkara ini memberikan gambaran bahawa terdapat pengulas yang melihat Ridzuan sebagai individu yang berpotensi menggalas tanggungjawab EXCO.
Ringkasnya, pencalonan Ridzuan memperlihatkan pendekatan Pas mengetengahkan seorang calon yang mempunyai kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran, penglibatan kemasyarakatan dan hubungan akar umbi. Penerimaannya dalam kegiatan bersama jentera Pas–UMNO, di samping interaksi mesra dengan calon PH dan Bersama, turut memberikan dimensi menarik kepada profil politiknya.
Gerak kerja kempen Ridzuan turut mendapat perhatian media arus perdana nasional, khususnya Utusan Malaysia yang pada 6 November lalu menyiarkan laporan wartawan Amran Mulup bertajuk Ridzuan yakin gelombang biru mampu tawan Bukit Katil.
Laporan tersebut menonjolkan kerjasama jentera Pas–UMNO, kehadiran Pengerusi BN Melaka serta perkembangan kempen Ridzuan dalam menghadapi Adly.
Dari sudut isu setempat pula, Utusan Malaysia melaporkan komitmen Ridzuan untuk menjadikan masalah banjir kilat dan penyelenggaraan longkang sebagai antara keutamaan sekiranya diberikan mandat.
Liputan ini memperlihatkan bahawa perkembangan kempen Bukit Katil bukan sahaja mendapat perhatian media parti dan tempatan, malah turut dilaporkan oleh akhbar nasional, khususnya berkaitan dinamika kerjasama Pas–BN dan isu pembangunan kawasan.
Bagaimanapun, cabaran kerjasama PAS–BN di Bukit Katil tidak boleh dipandang ringan. Kehadiran Abu Bakar sebagai calon Bebas yang mempunyai latar belakang penglibatan dalam UMNO menimbulkan persoalan tentang kesetiaan organisasi, pemindahan undi dan kemungkinan perpecahan sokongan tradisi.
Pengalaman DUN Batu Burok, Terengganu, pada PRU 1974 memperlihatkan bagaimana calon Bebas berlatarbelakangkan UMNO pernah menewaskan calon Pas yang bertanding atas tiket BN dalam suasana pertikaian pencalonan.
Dalam konteks yang lebih luas, perkembangan di Bukit Katil menjadi ujian terhadap kemampuan Pas dan UMNO menterjemahkan kerjasama kepimpinan kepada persefahaman akar umbi yang berkekalan.
Pemimpin UMNO negeri dan bahagian perlu memastikan bahawa tiada elemen sabotaj dalam kalangan ahli dan penyokongnya sehingga mereka mengundi calon Bebas atas pertimbangan politik sempit kerana keadaan ini boleh menjejaskan kerjasama BN–PN di peringkat nasional.
Lebih baik sekiranya calon Bebas dapat diminta mengumumkan penarikan diri daripada bertanding (walaupun namanya akan tetap kekal tertera pada kertas undi) dan meminta penyokongnya menyokong Ridzuan demi agenda penyatuan ummah yang lebih besar.
Akhirnya, Bukit Katil bukan sahaja menjadi medan persaingan empat calon, tetapi juga cerminan cabaran lebih besar politik gabungan Malaysia.
Rekod perkhidmatan, kualiti calon, kesepakatan jentera dan kebebasan pengundi membuat penilaian akan menentukan bagaimana persaingan ini difahami, bukan sekadar di Bukit Katil, tetapi juga dalam menilai hala tuju hubungan Pas-UMNO pada masa hadapan.
*** Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi) Yayasan Strategik Lestari (YSL) dan pemerhati politik semasa.




