Beregu campuran negara pamer kebangkitan di Terbuka Perancis 2025

23 Oct 2025 • 10:05 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

image is not available

Gandingan beregu campuran negara yang baru dinobatkan sebagai juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2025 selepas menampilkan aksi bertenaga di Cesson-Sevigne hari ini.

Dalam perlawanan pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 750 di Glaz Arena, Tang Jie-Ee Wei menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit menewaskan pasangan Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang dengan keputusan 16-21, 21-16, 21-12.

Beregu pilihan keempat itu bakal berdepan satu lagi pasangan dari Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan, yang menewaskan wakil Sepanyol, Ruben Garcia-Lucia Rodriguez, 21-9, 21-16.

Sementara itu, pasangan pilihan kelapan Soon Huat-Shevon turut mara ke pusingan kedua selepas mengharungi pertarungan sengit selama 59 minit untuk menundukkan beregu bukan pilihan dari Indonesia, Amri Syahwani-Nita Violina Marwah, 15-21, 21-17, 21-17.

Pasangan suami isteri itu akan berdepan wakil Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson, yang turut bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan pasangan Korea Selatan, Jongmin-Chae Yu Jung, 14-21, 21-12, 21-16.

Dalam satu lagi aksi, beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King membuka kempen mereka dengan langkah kanan apabila menundukkan pasangan tuan rumah, Eloi Adam-Leo Rossi, 21-19, 21-17.

Wan Arif-Roy King dijangka berdepan pilihan keempat dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau rakan senegara mereka, Xie Haonan-Zeng Wei Han, pada pusingan kedua esok.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain India Unnati Hooda menewaskan K. Letshanaa 11-21, 21-13, 21-16, manakala pasangan tuan rumah Margot Lambert-Camile Pognante mengatasi Ong Xin Yee-Carmen Ting 16-21, 21-14, 21-17 dalam acara beregu wanita.

Sumber: Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved