
PONTIAN – Kerajaan negeri sedang meneliti kaedah undang-undang yang boleh diambil ke atas pihak membuang sisa binaan dari Singapura ke daerah ini yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Md. Israk Abdullah berkata, tindakan itu boleh dikenakan kepada pihak yang membawa masuk dan melupuskan sisa binaan dari Singapura tanpa kelulusan.
Antara undang-undang yang boleh dikenakan ialah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
“Berdasarkan aduan yang diterima daripada penduduk, terdapat kawasan penambakan dan tapak pelupusan sisa binaan yang dipercayai beroperasi tanpa pemantauan rapi atau kelulusan sewajarnya,” katanya kepada Kosmo!.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup itu berkata, ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila lori-lori berat keluar masuk pada waktu tengah malam hingga awal pagi.
“Penduduk mengadu rumah mereka bergegar setiap kali lori melalui kawasan itu. Selain itu, habuk memenuhi persekitaran dan jalan raya turut menjadi kotor kerana sisa binaan yang dipunggahkan tidak dibersihkan,” katanya.
Ujarnya, semua agensi penguat kuasa berkaitan perlu memperhebat pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat atau menjalankan aktiviti secara haram.
“Setiap aduan dibuat penduduk perlu disiasat secara menyeluruh. Jika dakwaan ini benar, tindakan segera perlu diambil,” tegasnya.
The post ‘Bergegar rumah setiap kali lori Singapura lalu’ appeared first on Kosmo Digital.


