Berhati-hati,cuma Hazama sahabat rapat saya – Black Hanifah 

Entertainment
1 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Berhati-hati,cuma Hazama sahabat rapat saya – Black Hanifah 

Bagi penyanyi, Black Hanifah, 39, persahabatan dalam dunia seni bukan soal berapa ramai kenalan yang boleh dikumpulkan, sebaliknya siapa yang benar-benar boleh dipercayai ketika berada di luar sorotan kamera.

Selepas bertahun-tahun berada dalam industri, Black mengakui dia semakin berhati-hati dalam memilih individu untuk berada dalam lingkungan terdekatnya.

Bukan bermaksud dia sukar berkawan atau memusuhi rakan artis lain, tetapi Black sedar dunia hiburan tidak terlepas daripada persaingan, kepentingan peribadi, malah kemungkinan berdepan ‘musuh dalam selimut’ dan individu yang sanggup menikam dari belakang.

Justeru, Black memilih untuk berkawan dengan semua orang, tetapi soal kepercayaan diletakkan pada tahap berbeza.

Dalam kalangan rakan artis, akui Black, penyanyi Hazama menjadi individu yang paling rapat dengannya, selain Tomok yang turut dianggap sebagai teman baik.

Menariknya, keakraban Black dan Hazama bukan bermula ketika mereka sudah sama-sama dikenali, sebaliknya sejak penyanyi itu masih belum bergelar ‘Hazama’ yang dikenali ramai.

Black berkata, dia mengenali Hazama ketika sahabatnya itu masih menjadi penyanyi latar, sekali gus membuatkan hubungan mereka terbina atas dasar mengenali diri masing-masing sebelum populariti hadir.

“Pada saya, kalau berkawan ini memang kita kena telus. Tetapi kadang-kadang ada orang cakap tidak boleh sangat kalau berkawan dengan orang dalam industri ini, kena jaga-jaga dan jangan terlalu telus. 

“Cuma Hazama ini berbezanya apabila saya kenal dia sebelum dia menjadi Hazama yang sekarang. Dulu dia Hazama yang menjadi penyanyi latar untuk saya. Saya tahu isi hati dia, cara dia berfikir dan saya tahu dia ikhlas dalam berkawan berdasarkan apa yang saya kenal selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Image from: Berhati-hati,cuma Hazama sahabat rapat saya – Black Hanifah 

Menurut Black, tempoh persahabatan yang panjang membuatkan mereka bukan sekadar mengenali sisi profesional masing-masing, malah turut melalui pelbagai fasa kehidupan bersama.

Daripada zaman bujang, mendirikan rumah tangga sehinggalah melalui perubahan kehidupan masing-masing, hubungan mereka kekal akrab.

Malah, Black menganggap Hazama mempunyai satu kelebihan yang jarang dimiliki orang lain iaitu mampu mengingati hampir setiap perkara kecil yang pernah berlaku dalam persahabatan mereka.

“Setiap kali kami lepak, dia akan ceritakan momen-momen yang saya sendiri pun sudah tidak ingat. Dia akan cakap, ‘Kau ingat tak masa ini kau macam ini, macam ini?’ Saya pula akan jawab, ‘Weh, biar betul.’ Tetapi dia memang ingat. 

“Hazama ini dia ingat setiap momen, walaupun benda kecil. Dia boleh ingat saya pakai baju warna apa ketika sesuatu kejadian berlaku. Sampai ketika saya pertama kali berjumpa dengan isteri saya, Shira, dia masih boleh ingat pakaian yang dipakai. Dia akan cerita semula satu persatu. Dia ingat A sampai Z mengenai saya,” katanya.

Bagi Black, sifat Hazama yang mengingati setiap detik kecil itulah antara perkara yang membuatkan dia yakin sahabatnya itu ikhlas dalam persahabatan.

Namun, dalam nada berseloroh, Black mengakui kelebihan Hazama itu juga boleh menjadi ‘ancaman’ buat dirinya, terutama jika mereka digandingkan dalam satu pentas.

“Sebab itu saya boleh katakan apabila dia berkawan, dia memang ikhlas. Dia akan ingat semuanya. Jadi kalau kami berada di atas pentas nanti, tidak mustahil dia akan ‘bogelkan’ saya dengan cerita-cerita lama kerana dia tahu semuanya. Saya pula bukan jenis yang mengingati perkara seperti itu. 

“Mungkin dua tiga bulan saya masih ingat, selepas itu saya sudah lupa. Tetapi Hazama memang akan ingat dan dia boleh saja tiba-tiba buka cerita. Kadang-kadang saya kena pesan, ‘Kau diam, benda ini jangan cerita.’ Tetapi saya tahu itulah cara dia berkawan dan itulah yang membuatkan saya menghargai persahabatan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Black turut pernah mengambil langkah untuk menjauhkan diri seketika daripada kehidupan selebriti apabila memilih untuk menghabiskan masa di Langkawi.

Bagaimanapun, penghijrahan itu bukan kerana mahu memutuskan hubungan dengan rakan artis, sebaliknya memberi peluang kepadanya untuk mengenali kehidupan dan bentuk persahabatan yang berbeza.

Menurutnya, apabila berada di Langkawi, dia lebih banyak bergaul dengan masyarakat setempat dan belajar memahami cara hidup mereka yang jauh berbeza daripada rutin dunia hiburan.

“Saya cuba lari pergi ke Langkawi, tetapi saya masih duduk di sini. Cuma apabila saya berada di Langkawi, saya sudah jarang berjumpa dengan ramai kawan selebriti. Saya banyak berkawan dengan orang kampung. 

“Saya mahu cari balik bagaimana cara hendak berkawan dengan orang kampung sebab apabila berkawan dengan orang kampung, banyak benda yang kita boleh belajar. Hidup di kampung ini lain, memang lain cara mereka berfikir. Banyak perkara yang saya belajar daripada mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai realiti persahabatan dalam industri seni, Black tidak menafikan memang wujud keadaan yang membuatkan seseorang perlu lebih berhati-hati.

Namun, dia enggan melabel semua rakan dalam industri sebagai tidak boleh dipercayai kerana masih ramai yang ikhlas dan baik untuk dijadikan sahabat.

“Saya tidak cakap semua orang dalam industri tidak boleh dibuat kawan. Dalam industri kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi kita jangan terlalu percaya orang 100 peratus kerana masing-masing ada kepentingan masing-masing. 

“Saya berkawan sahaja dengan semua orang. Cuma kawan rapat saya dalam industri antaranya Hazama dan Tomok. Yang paling rapat memang Hazama dan Tomok. Yang lain, saya cuma jumpa di tempat acara, kami bertegur sapa, berbual dan selepas itu saya balik. 

“Saya tidak akan hubungi mereka secara kerap atau cari mereka di luar acara. Dengan Hazama, saya boleh bercakap sejam di telefon. Dengan Tomok pun sama, tetapi saya lebih rapat dengan Hazama,” katanya.

The post Berhati-hati,cuma Hazama sahabat rapat saya – Black Hanifah  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved