'Beri contoh kurang baik' - Azam Kelantan kritik penganjuran konvoi motosikal ke LTSIP

LocalPolitics
26 Apr 2026 • 3:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Adib Faisal

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (AZAM Kelantan) menyifatkan penganjuran konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini pada Sabtu sebagai tindakan tidak cermat dan memberi contoh kurang baik kepada golongan muda ketika dunia berdepan krisis bahan bakar

Koordinator AZAM Kelantan, Adib Faisal Yaacob berkata, program 'Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB' anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Pemuda Pas Kelantan itu perlu dilihat melangkaui sekadar agenda mendekati anak muda kerana ia berlangsung dalam situasi bekalan bahan api yang semakin mencabar.

Menurut beliau, kepimpinan seharusnya menunjukkan teladan dalam penggunaan sumber secara berhemah, bukannya mempromosikan budaya pembaziran melalui aktiviti konvoi di jalan raya.

"Dalam keadaan ekonomi rakyat yang mencabar, setiap titis bahan api digunakan perlu mempunyai nilai pulangan lebih bermakna kepada masyarakat.

"Pemimpin sepatutnya mendidik anak muda mengenai penjimatan sumber, bukannya meraikan program yang boleh ditafsirkan sebagai pembaziran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Adib turut mempersoalkan sama ada penganjur mengambil mudah isu sekuriti bekalan bahan api nasional kerana tanggungjawab berkaitan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sikap negarawan menuntut pemimpin mendahulukan kemampanan sumber negara melebihi kepentingan imej politik atau keuntungan populis.

Dakwanya, berkonvoi beramai-ramai tanpa hala tuju dan matlamat jelas adalah satu pembaziran nyata yang tidak sepatutnya datang daripada pihak yang menerajui kepimpinan.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Wan Rohimi menjelaskan konvoi berkenaan hanya melalui hadapan LTSIP Pengkalan Chepa dan tidak memasuki kawasan dalam.

Beliau menjelaskan perkara tersebut selepas ia mendapat kecaman hebat di media sosial susulan aturcara program terbabit menyatakan antara lokasi yang akan dikunjungi ialah LTSIP Pengkalan Chepa.

Perkara tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan warganet yang tidak bersetuju dengan tindakan terbabit tetapi ia turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengarahkan sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak berkuasa pada Sabtu.

Perkara ini menjadi isu apabila ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim membangkitkan isu 'mat rempit' yang berlaku di LTSIP Pengkalan Chepa semasa sidang DUN pada Selasa di mana Wan Rohimi menyanggah kenyataan tersebut.

Ia semakin menjadi perhatian apabila Wan Rohimi pada Khamis mengajak anak muda untuk sama-sama menyertai konvoi bermotosikal pada Sabtu sekitar jam 5 petang bermula dari Kota Lama-LTSIP Pengkalan Chepa - Bandar-belakang AEON Mall.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved