
KUNAK: Kerajaan perlu tampil memberikan penjelasan mengenai keabsahan kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berdasarkan penaksiran Perkara 6 (7) dan Perkara 6 (3) Perlembagaan Negeri Sabah.
Ketua Wanita Warisan Sabah, Norazlinah Arif, berkata ia wajar bagi merungkai segala kekeliruan dan keraguan dalam kemelut politik Sabah yang sedang berlaku.
Menurutnya, ramai melihat dan menganggap kemelut politik itu telah selesai selepas pengguguran beberapa anggota kabinet negeri disusuli perlantikan anggota kabinet baru.
“Bagaimanapun, perlantikan itu hanya dilihat sebagai tindakan Hajiji untuk menyingkirkan pesaingnya melalui penjajaran politik dengan membawa masuk Adun Pakatan Harapan (PH) dalam kabinet beliau.

