Berita gembira untuk belia menjelang Hari Kebangsaan - Anwar

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 6:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Berita gembira untuk belia menjelang Hari Kebangsaan - Anwar
Anwar menyampaikan ucapan pada HAMKA Antarabangsa 2026. Foto: Bernama

KLANG - Golongan belia bakal menerima berita gembira apabila kerajaan dijangka mengumumkan satu atau dua inisiatif penting untuk golongan itu menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu akan dibuat selepas beliau meneliti pandangan dan cadangan berkaitan usaha membantu golongan muda.

"Insya-ALLAH saya dengar, teliti, ada keupayaan kita akan lakukan yang terbaik untuk belia,” katanya semasa menjawab soalan daripada salah seorang mahasiswa ketika Sesi Temu Anwar pada Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini pada Khamis.

Anwar berkata, selain pengumuman pada sambutan Hari Kebangsaan, beliau dijadualkan berada di Kuching, Sarawak bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 September sebelum pembentangan Belanjawan 2027 pada awal Oktober.

Katanya, ketiga-tiga tempoh itu akan menjadi antara waktu penting bagi kerajaan mengumumkan langkah berkaitan pembangunan dan kebajikan rakyat termasuk golongan belia.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan anak muda dalam merangka dasar dan inisiatif yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

"Kita dengar, kita teliti dan dengan keupayaan yang ada akan lakukan yang terbaik untuk belia," jelas beliau.

Beliau berkata, kerajaan juga menyedari perubahan landskap ekonomi dan pekerjaan yang menyaksikan semakin ramai anak muda terbabit dalam bidang baharu termasuk ekonomi digital, perniagaan kecil-kecilan dan pekerjaan gig.

Katanya, pendekatan kerajaan perlu berubah seiring perkembangan berkenaan supaya peluang yang lebih luas dapat diwujudkan untuk generasi muda.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan mempermudah proses mendapatkan pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) bagi graduan yang mahu memulakan perniagaan tanpa perlu menunggu sehingga mempunyai rekod perniagaan selama tiga tahun.

Beliau berkata, syarat sedia ada perlu diteliti semula kerana landskap perniagaan kini sudah berubah dan semakin ramai anak muda memilih keusahawanan sebagai kerjaya.

Katanya, kerajaan mahu membantu graduan yang baru tamat pengajian dan mempunyai hasrat memulakan perniagaan termasuk mereka yang terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan serta ekonomi digital.

"Tadi dicadangkan bagi anak-anak yang lulus universiti nak mula perniagaan, dia kena tunggu tiga tahun, dia nak dapat pinjaman TEKUN, dia kena ada rekod.

"Tapi keadaan dah berubah. Sebab itu kita akan permudahkan,” katanya.

Anwar menjelaskan, kerajaan juga sedang memperkenalkan rang undang-undang baharu berkaitan perniagaan kecil-kecilan bagi memastikan peraturan sedia ada lebih relevan dengan perkembangan ekonomi semasa.

Katanya, beliau sudah meminta Kementerian Sumber Manusia menyiapkan rang undang-undang itu pada tahun ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved