
PETALING JAYA – Berjaya Construction Berhad akan melaksanakan kerja reka bentuk dan pembinaan Projek Pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis dengan kos pembangunan keseluruhan dianggarkan RM1.2 bilion.
Projek itu membabitkan kerja perolehan, pembangunan reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan, dengan kos pembinaan awal dianggarkan berjumlah RM675 juta.
Pembangunan infrastruktur pelabuhan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Mutiara Perlis Sdn. Bhd. selaku pemilik dan pemaju Pelabuhan Sanglang, serta Perlis Inland Port (PIP).
Cadangan pembangunan merangkumi dua terminal pelbagai guna, terminal Roll-on/Roll-off (RORO) dan terminal kargo am yang dihubungkan menerusi jambatan akses pelabuhan sepanjang empat kilometer, dengan kedalaman air sehingga 11.9 meter.
Pelan induk turut merangkumi aktiviti RORO, kemudahan perikanan, pengendalian kargo am, hab tenaga dan kemudahan pelbagai guna bagi menyokong aktiviti perikanan, pendaratan tuna antarabangsa, komoditi, kargo petroleum serta gas petroleum cecair (LPG).
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, peningkatan keupayaan pengendalian kargo serta akses kepada pasaran lebih luas menerusi PIP dan Pelabuhan Sanglang mampu meningkatkan daya tarikan Perlis kepada pelabur.
“Ini termasuk pelaburan dalam sektor logistik, pembuatan, tenaga dan industri berkaitan, sekali gus menjana peluang pekerjaan dan perniagaan kepada perusahaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fasa pertama projek yang meliputi jambatan akses pelabuhan sepanjang dua hingga empat kilometer serta terminal berkaitan dianggarkan mengambil masa 30 bulan, manakala fasa kedua membabitkan kemudahan pendaratan LPG selama 12 bulan.
Pembangunan Pelabuhan Sanglang dijangka menyokong pertumbuhan sektor tenaga Perlis, selain melengkapi PIP dan kawasan perindustrian Lembah Chuping, seterusnya mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab perdagangan dan logistik di Wilayah Utara Semenanjung. – KOSMO! ONLINE
The post Berjaya Construction bina Pelabuhan Sanglang RM1.2 bilion appeared first on Kosmo Online.





