hamden28/10/2026 - 14:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Berjaya Construction Bhd dilantik melaksanakan kerja reka bentuk dan pembinaan Projek Pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis dengan anggaran kos pembangunan keseluruhan kira-kira RM1.2 bilion, sekali gus memperkukuh infrastruktur maritim dan rangkaian logistik di utara Semenanjung Malaysia.
Projek berkenaan, yang merangkumi anggaran awal kos pembinaan RM675 juta, akan dibangunkan secara berperingkat bagi melengkapi infrastruktur logistik sedia ada, termasuk Zon Perdagangan Bebas Komersial Tuanku Syed Sirajuddin – Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping.
Berjaya Property Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Berjaya Construction akan bekerjasama dengan Mutiara Perlis Sdn Bhd, pemilik merangkap pemaju PIP dan Pelabuhan Sanglang, dengan skop kerja meliputi perolehan, pembangunan reka bentuk, kejuruteraan dan pelaksanaan pembinaan.
Cadangan pembangunan itu merangkumi dua terminal pelbagai pengguna, sebuah terminal Roll-on/Roll-off (RORO) dan sebuah terminal kargo am di sepanjang trestle sepanjang empat kilometer, dengan kedalaman perairan sehingga 11.9 meter.
Pelan induk berkenaan turut merangkumi lima aktiviti maritim utama, iaitu operasi RORO, kemudahan perikanan, pengendalian kargo am, hab tenaga dan kemudahan pelbagai pengguna.
Kemudahan itu dirancang bagi menampung pelbagai kategori kargo dan keperluan perkapalan, termasuk hasil perikanan serta pendaratan tuna antarabangsa, komoditi, kargo berkaitan petroleum dan aktiviti gas petroleum cecair (LPG).
Terminal RORO pula dirancang untuk meningkatkan hubungan maritim antara Perlis dengan Langkawi melalui kemudahan pergerakan kenderaan dan barangan. Operasi sepanjang masa turut dirancang bagi menyokong aktiviti pelancongan di kawasan sekitar.

Tempoh pelaksanaan fasa 1 ialah 30 bulan
Tempoh pelaksanaan yang dianggarkan bagi Fasa 1, meliputi trestle sepanjang dua hingga empat kilometer termasuk terminal berkaitan, ialah 30 bulan. Fasa 2 yang merangkumi kemudahan pendaratan LPG pula dijangka mengambil masa 12 bulan.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek itu tertakluk kepada kelulusan berkaitan, pengaturan pelaksanaan dan pencapaian peringkat pembinaan.
Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, peningkatan keupayaan pengendalian kargo serta akses kepada pasaran lebih luas menerusi PIP dan Pelabuhan Sanglang berpotensi meningkatkan daya tarikan Perlis kepada pelabur dalam sektor logistik, pembuatan, tenaga dan industri berkaitan.
Menurutnya, perkembangan itu juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada perusahaan tempatan.
Sementara itu, Pengasas Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan berkata, projek berkenaan menekankan kepentingan pelaburan dalam infrastruktur strategik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia dan memperkukuh hubungan serantau.
Beliau berkata, kemudahan maritim yang dirancang dengan baik berpotensi membuka peluang baharu dalam perdagangan, industri dan pelaburan, selain menyokong perniagaan serta komuniti tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property Bhd, yang dahulunya dikenali sebagai Berjaya Land Bhd, Syed Ali Shahul Hameed pula berkata, projek itu berpotensi memperkukuh infrastruktur maritim Perlis, meningkatkan hubungan serantau serta menyokong pertumbuhan perdagangan dan industri.
Katanya, Berjaya Construction akan memanfaatkan kepakaran kejuruteraan dan keupayaan pelaksanaan projeknya bagi menyokong pembangunan infrastruktur berkualiti yang memberikan nilai jangka panjang.
Pembangunan Pelabuhan Sanglang juga dijangka menjadi asas kepada pertumbuhan sektor tenaga Perlis, selaras dengan perancangan Hab Tenaga Perlis dan Hab Kuasa Perlis bagi menyokong keperluan tenaga serta elektrik pada masa hadapan.
Terletak di hujung paling utara Semenanjung Malaysia, Pelabuhan Sanglang berpotensi membantu meningkatkan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa dan logistik, selain menyokong pembangunan ekonomi domestik yang lebih seimbang dengan merapatkan jurang ekonomi antara Perlis dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com






