Pelabuhan Sanglang perkukuh sektor perdagangan, maritim dan logistik – MB

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 6:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelabuhan Sanglang perkukuh sektor perdagangan, maritim dan logistik – MB

KANGAR: Pembangunan Pelabuhan Sanglang mencerminkan komitmen berterusan memperkukuhkan sektor maritim, perdagangan, logistik dan pelaburan di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kedudukan geografi negeri ini yang bersempadan dengan Thailand memberikan kelebihan dalam memperluas hubungan perdagangan rentas sempadan serta meneroka peluang pasaran lebih besar di peringkat domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan pelabuhan yang cekap dan berdaya saing dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur, merancakkan aktiviti perdagangan serta membuka peluang kepada perkembangan perniagaan dan industri baharu.

“Selain itu, Pelabuhan Sanglang turut berpotensi menyokong pelbagai aktiviti maritim melalui perancangan kemudahan yang merangkumi terminal pelbagai guna, terminal Roll-on/Roll-off (RORO), pengendalian kargo am, kemudahan perikanan dan aktiviti berkaitan tenaga,” katanya pada Majlis Peletakan Batu Asas Pembangunan Pelabuhan Sanglang, di sini, hari ini.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Abu Bakar berkata, apabila siapnya projek tersebut kelak, diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis selain memperluaskan penyertaan kontraktor tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan negeri ini dalam rantaian bekalan dan operasi pelabuhan.

“Kerajaan negeri berharap agar pembangunan ini dapat mewujudkan limpahan ekonomi yang menyeluruh melalui peningkatan aktiviti perdagangan, pertumbuhan perniagaan tempatan dan kewujudan peluang ekonomi baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Mutiara Perlis Sdn Bhd, Datuk Shabarudin Ibrahim berkata, Pelabuhan Sanglang merupakan projek pembangunan infrastruktur maritim berskala besar dengan anggaran kos pembangunan berjumlah RM1 bilion termasuk kos pembinaan, RM675 juta.

“Pelabuhan Sanglang dirancang dengan kemudahan trestle dan beberapa terminal yang memanjang sehingga empat kilometer ke tengah laut bagi menampung pelbagai aktiviti maritim serta keperluan pengendalian kargo yang berbeza.

“Antara kemudahan dirancang termasuk terminal pelbagai guna bagi menyokong aktiviti perikanan dan perkhidmatan berkaitan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), Terminal RoRo bagi pengendalian logistik kenderaan dan kargo beroda, terminal pelbagai guna untuk menyokong industri perikanan tuna laut lepas serta Terminal Kargo Am bagi pengendalian komoditi termasuk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG),” katanya.

Katanya lagi, visi besar pembangunan projek berkenaan adalah bagi meletakkan Perlis sebagai sebuah hab logistik nasional yang berdaya saing dan disokong oleh jaringan infrastruktur Pelabuhan Darat, Pelabuhan Laut dan Hab Tenaga yang saling berkait rapat.

“Dalam merealisasikan visi tersebut, tiga projek utama Mutiara Perlis memainkan peranan yang amat penting iaitu Perlis Inland Port (PIP), Pelabuhan Sanglang dan Perlis Energy Hub.-UTUSAN

The post Pelabuhan Sanglang perkukuh sektor perdagangan, maritim dan logistik – MB appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved