amree16/11/2026 - 17:25 Tony Khor Chong Boon (kiri) dan Nicholas Ng bergambar dengan model Jetour T2 selepas pelancaran bilik pameran utama Jetour di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Berjaya Eco-Drive Sdn Bhd memperkukuh langkah dalam industri automotif tempatan menerusi pembukaan bilik pameran utama dan pertama jenama Jetour di Berjaya Times Square, sekali gus memperluas akses pengguna terhadap rangkaian kenderaan itu di pusat bandar raya.
Bilik pameran kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan dibuka menerusi kerjasama Berjaya Eco-Drive dengan Jetour Malaysia dengan turut menawarkan pengalaman unik kepada para pengunjung untuk melihat sendiri serta meneroka rangkaian pelbagai model kenderaan jenama automotif dari China itu.
Antara model yang dipamerkan ialah Dashing, VT9, T1, T2 dan T2 i-DM dengan Berjaya Times Square dipilih kerana akses yang mudah serta jumlah pengunjung yang tinggi, selain mempunyai sambungan terus ke stesen Monorel Imbi selain terletak dalam jarak berjalan kaki dari Bukit Bintang.
"Pengunjung turut boleh mendapatkan khidmat konsultasi, membandingkan pelbagai model dan menjalani sesi pandu uji sepanjang tujuh hari seminggu mengikut tempoh waktu operasi di pusat beli-belah berkenaan," kata Berjaya Eco-Drive dalam kenyataan pada Isnin.
Pengarah Berjaya Eco-Drive, Datuk Tony Khor Chong Boon memberitahu, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen syarikat berkenaan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan automotif berkualiti serta menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau.

Tambah beliau, pihaknya berhasrat dapat menyediakan segala perkhidmatan profesional dan lebih dekat dengan pelanggan di pasaran Malaysia terutamanya di kawasan Lembah Klang, selain membawa rumusan mobiliti Jetour terus ke kawasan pusat bandar.
Sementara itu, Naib Presiden JETOUR Malaysia, Nicholas Ng berkata, pemilihan Berjaya Eco-Drive sebagai rakan industri tempatan dibuat berdasarkan kehadiran kukuh kumpulan itu, rekod prestasi serta kepercayaan pengguna di Malaysia.
Menurutnya, kerjasama berkenaan dijangka menyokong perkembangan kedua-dua pihak dalam landskap automotif tempatan yang semakin berubah. Jetour dilancarkan di China pada 2018 dan merupakan salah satu jenama automotif di bawah kumpulan Chery Holding Group.
Jenama ini memberi tumpuan kepada pengeluaran SUV, khususnya untuk keluarga dan aktiviti lasak. Sebagai pengedar sah Jetour, Berjaya Eco-Drive menyediakan perkhidmatan menyeluruh merangkumi jualan kenderaan, bantuan pembiayaan sewa beli, urusan insurans serta sokongan selepas jualan.
Berjaya Eco-Drive merupakan anak syarikat automotif Berjaya Corporation Berhad yang ditubuhkan bagi menerajui pengembangan kumpulan itu dalam bidang mobiliti moden, mampan dan pintar, termasuk membawa penyelesaian automotif inovatif kepada pengguna Malaysia. - DagangNews.com


