Semico buka pusat hiburan keluarga baharu dengan lebih 40 mesin permainan di Berjaya Times Square

LocalEntertainment
3 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Semico buka pusat hiburan keluarga baharu dengan lebih 40 mesin permainan di Berjaya Times Square Image from: Semico buka pusat hiburan keluarga baharu dengan lebih 40 mesin permainan di Berjaya Times Square liza03/11/2026 - 10:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov – Semico Capital Berhad kini membuka pusat hiburan keluarga (FEC) baharu seluas kira-kira 5,640 kaki persegi di pusat beli-belah Berjaya Times Square yang menempatkan lebih 40 mesin permainan arked bagi memenuhi keperluan pengunjung.

 

Antara kemudahan yang disediakan termasuk permainan perlumbaan dan motosikal, mesin mencangkuk hadiah (claw machines), permainan sukan, permainan muzik serta mesin layan diri.

 

Pembukaan pusat berkenaan meletakkan Semico di salah satu destinasi beli-belah dan hiburan utama di pusat bandar Kuala Lumpur, sekali gus memberikan akses kepada kumpulan itu untuk mendekati pelanggan tempatan dan pelancong antarabangsa.

 

Menurut Semico, lokasi pusat hiburan itu yang mempunyai akses terus kepada pengangkutan awam dijangka memberikan pendedahan lebih luas kepada kumpulan tersebut dalam kalangan pengunjung pusat beli-belah berkenaan.

 

Selain itu, kemudahan hiburan sedia ada di Berjaya Times Square turut menyediakan asas pelanggan yang mencari aktiviti riadah dan hiburan keluarga.

 

Keadaan itu membuka peluang kepada Semico untuk menarik sebahagian daripada aliran pengunjung sedia ada, di samping melengkapi tarikan hiburan lain yang terdapat di pusat beli-belah berkenaan.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Semico, Tai Lee Chuen berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan pengunjung ke pusat hiburan baharu itu yang menampilkan konsep dalaman moden dan pilihan mesin permainan arked popular.

 

Beliau berkata, kemudahan berkenaan direka untuk memenuhi cita rasa pengguna masa kini, khususnya golongan muda, selain menyokong kedudukan Berjaya Times Square sebagai destinasi gaya hidup bersepadu yang menawarkan pelbagai pengalaman beli-belah dan riadah.

 

Jangka langkah Belanjawan 2027 sokong perbelanjaan pengguna

Mengulas prospek perniagaan, Tai berkata, kumpulan itu turut menyambut baik langkah yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober 2026.

 

Menurutnya, peningkatan pelepasan cukai pendapatan individu serta pengurangan kadar cukai bagi kumpulan pendapatan terpilih dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan menyokong perbelanjaan pengguna.

 

“Peruntukan RM935 juta bagi aktiviti pelancongan dan kebudayaan serta pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027 dijangka memberikan rangsangan kepada aktiviti pelancongan.

 

“Inisiatif berkenaan dijangka mewujudkan persekitaran operasi yang lebih baik untuk perniagaan kumpulan itu,” katanya.

 

Semico, melalui anak-anak syarikatnya, terbabit dalam penyediaan produk dan perkhidmatan hiburan keluarga, termasuk pembekalan mesin permainan arked dan hiburan, selain operasi pusat hiburan keluarga serta perniagaan pemborongan dan pengedaran mainan dan barangan koleksi.

 

Dalam segmen hiburan keluarga, kumpulan itu merupakan pengedar eksklusif yang diberi kuasa bagi pembangun permainan dan pengeluar mesin Superwing serta Dreamfuns, selain memiliki hak pengedaran bagi jenama lain termasuk ACE Amusement, UNIS, Jakar dan DOF Robotics.

 

Bagi segmen mainan dan barangan koleksi pula, Semico mengedarkan jenama seperti Funism, Jotoys dan ToyCity melalui rangkaian kedai runcit kendalian pelanggan di seluruh Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved