AEON Credit perkenal FacePay, pembayaran imbas wajah pertama Malaysia di KL Midtown

LocalTechnology
6 Nov 2026 • 2:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AEON Credit perkenal FacePay, pembayaran imbas wajah pertama Malaysia di KL Midtown Image from: AEON Credit perkenal FacePay, pembayaran imbas wajah pertama Malaysia di KL Midtown liza06/11/2026 - 14:39 Cawangan utama AI pertama AEON Credit Service di AEON Mall KL Midtown yang dilengkapi kemudahan AI Greeter, Smart Pods dan ruang istirahat eksklusif untuk ahli Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov – AEON Credit Service (M) Bhd memperkenalkan kemudahan pembayaran menggunakan pengecaman wajah, FacePay menerusi aplikasi AEON Wallet, yang didakwa sebagai perkhidmatan pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Dalam masa yang sama, ia juga melancarkan cawangan utama berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) pertamanya di AEON Mall KL Midtown.

 

Kedua-dua inisiatif yang diperkenalkan pada 5 November itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperluas penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan kewangan serta meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

Menerusi FacePay, pelanggan boleh membuat pembayaran barangan menggunakan imbasan wajah tanpa memerlukan wang tunai, kad, telefon bimbit, dompet fizikal atau kod QR.

 

Kemudahan itu boleh digunakan di kaunter pembayaran layan diri terpilih di AEON Supermarket KL Midtown selepas pelanggan selesai membeli-belah.

 

FacePay mudahkan pembayaran melalui pengecaman wajah

Untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan, pelanggan hanya perlu mendaftarkan wajah sekali menerusi aplikasi AEON Wallet sebelum membuat pembayaran menggunakan AEON Wallet atau kad AEON yang layak.

 

AEON Credit memaklumkan FacePay dilengkapi ciri pengesanan keaslian wajah dan pengesahan Face Code bagi memastikan proses pembayaran lebih selamat serta lancar.

 

Bagi menggalakkan penggunaan kemudahan tersebut, pelanggan boleh menikmati tambahan satu kali ganda mata ganjaran AEON Points bagi setiap transaksi FacePay dari 5 November hingga 31 Disember 2026.

 

Menerusi tawaran itu, pelanggan berpeluang memperoleh sehingga enam kali ganda AEON Points untuk pembelian barangan keperluan harian, tertakluk kepada ketersediaan mata ganjaran sepanjang tempoh kempen.

 

Cawangan AI tampil dengan konsep ruang eksklusif

Dalam perkembangan sama, AEON Credit melancarkan cawangan utama AI pertamanya di KL Midtown dengan konsep ruang istirahat eksklusif berbanding susun atur cawangan perkhidmatan kewangan konvensional.

 

Cawangan itu dilengkapi AI Greeter yang berfungsi menyambut pelanggan serta memberikan panduan kepada mereka untuk mendapatkan perkhidmatan bersesuaian.

 

Selain itu, kemudahan Smart Pods membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai produk melalui panel digital atau berhubung dengan ejen secara dalam talian untuk mendapatkan bantuan secara langsung.

 

Cawangan berkenaan turut menyediakan Flagship Members' Lounge, iaitu ruang eksklusif untuk ahli berehat, menikmati minuman dan makanan ringan percuma serta menyertai aktiviti komuniti.

 

KL Midtown jadi lokasi percubaan teknologi baharu

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Lee Tyan Jen berkata, pengenalan FacePay dan cawangan utama AI itu mencerminkan penggunaan teknologi oleh syarikat bagi menjadikan perkhidmatan kewangan harian lebih mudah, selamat dan memberikan ganjaran kepada pelanggan.

 

Beliau berkata, KL Midtown turut dijadikan platform percubaan bagi memperkenalkan teknologi baharu sebelum pengalaman berkenaan diperluaskan kepada lebih ramai pelanggan.

 

AEON Credit yang diperbadankan pada 6 Disember 1996 menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk kad kredit, kad prabayar, aplikasi AEON Wallet, skim pembayaran mudah, pembiayaan sewa beli, pembiayaan peribadi, pembrokeran insurans serta perbankan Islam digital.

 

Kumpulan itu kini mempunyai lima pejabat wilayah, 54 cawangan dan pusat perkhidmatan di pusat beli-belah utama serta bandar di seluruh negara, selain rangkaian lebih 6,000 premis pedagang yang mengambil bahagian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved