amree07/10/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Berjaya Hills Resort Berhad sudah membayar kira-kira RM42.65 juta bagi cukai tanah dan penalti kepada kerajaan Pahang bagi tempoh 2020 hingga 2026, dengan dijelaskan di bawah bantahan ketika syarikat terus mencabar kadar cukai tanah yang disemak.
Berjaya Corporation Berhad dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bayaran berkenaan dibuat susulan kenaikan ketara kadar cukai tanah bagi hartanahnya di Pahang, dengan syarikat tersebut terus mendapatkan semakan lanjut terhadap kadar yang dikenakan.
Menurut kumpulan itu, kadar cukai tanah tahunan Berjaya Hills melonjak 13 kali ganda kepada RM33.7 juta pada 2020, berbanding RM2.4 juta pada 2019, sebelum dikurangkan kepada RM25.75 juta selepas 11 rayuan kepada kerajaan negeri antara April 2020 hingga Disember 2022.
"Peningkatan kos cukai tanah sudah pun diambil kira melalui peruntukan dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan masing-masing sejak kadar baharu berkuat kuasa pada 2020," tambah kumpulan berkenaan sebagai menjawab pertanyaan Bursa Malaysia berhubung isu tersebut.
Sehubungan itu, Berjaya Corporation berkata kesan daripada kadar cukai tanah tahunan yang disemak telah diambil kira dalam penyata kewangan kumpulan bagi tahun kewangan masing-masing dan tidak memberi kesan operasi yang material kepada kumpulan.
Penjelasan tersebut dibuat susulan laporan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Pahang pada 28 September 2026 yang menutup dan menyekat akses ke kawasan kuarters kakitangan, pusat dobi, taman arnab serta Taman Jepun dalam Berjaya Hills.
Artikel berkaitan: Aset disita: Berjaya Hills Resort sifatkan tindakan penguatkuasaan Pahang keterlaluan

Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan kemudahan operasi teras termasuk The Chateau Spa & Wellness Resort, Colmar Tropicale Hotel, Berjaya Hills Golf & Country Club dan rumah hijau masih lagi tidak terjejas serta terus beroperasi seperti biasa.
"Kumpulan juga menjangkakan tindakan penguatkuasaan tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi, berdasarkan kos cukai tanah yang sudah diambil kira dalam penyata kewangan sejak kadar baharu berkuat kuasa," jelasnya lagi.
Pertikaian berhubung cukai tanah berkenaan telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan menjadi asas kepada tindakan undang-undang oleh Berjaya Hills Resort terhadap keputusan kerajaan negeri berhubung isu peningkatan ketara kadar berkenaan.
Berjaya Hills sebelum ini dilaporkan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh, namun permohonannya ditolak pada Mei 2024 atas alasan mahkamah tidak boleh campur tangan dalam sebarang keputusan dasar kerajaan negeri.
Keputusan itu kemudiannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai 2026. Berikutan itu, Berjaya Hills memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos 2026, dengan pendengaran dijadualkan pada 8 Disember 2026.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri terbuka untuk berbincang bagi menyelesaikan kemelut berkenaan, namun tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sedia ada. - DagangNews.com






